Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Journal of Business and Social Development Volume 2 Number 1, March 2014: 114-122 ISSN: 2289-2915 © Penerbit UMT HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONO...
Author: Lionel Malone
2 downloads 1 Views 942KB Size
Journal of Business and Social Development Volume 2 Number 1, March 2014: 114-122

ISSN: 2289-2915 © Penerbit UMT

HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONOMI DAN PENYERTAAN KOMUNITI IBAN DALAM PROGRAM PEMBANGUNAN DIRI

(RELATIONSHIP BETWEEN SOCIO-ECONOMIC VARIABLES AND IBAN COMMUNITY PARTICIPATION IN SELF-DEVELOPMENT PROGRAMMES) KWOK CHIN HOE* DAN HARIS ABD WAHAB Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. *Corresponding author: [email protected]

Abstrak: Penyertaan komuniti setempat dalam sesuatu program adalah elemen penting yang dapat menyumbang kepada kejayaan program yang dilaksanakan. Walau bagaimanapun, tinjauan ke atas beberapa kajian membuktikan bahawa kesediaan komuniti setempat untuk melibatkan diri dalam program yang diadakan sering kali dibatasi oleh pelbagai faktor. Artikel ini menghujahkan bahawa faktor sosioekonomi iaitu tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan adalah antara elemen yang boleh mempengaruhi keterlibatan komuniti dalam program pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan mengenal pasti perkaitan antara tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan dengan penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Kajian yang berbentuk kuantitatif ini telah dilaksanakan di Daerah Song, Sarawak. Borang soal selidik diedarkan kepada 260 orang ketua isi rumah (KIR) komuniti Iban di rumah panjang. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis menggunakan perisian komputer SPSS. Hasil kajian berasaskan analisis Khi Kuasa Dua ke atas ketiga-tiga angkubah menunjukkan hanya angkubah pekerjaan mempunyai perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) dengan keempat-empat tahap penyertaan (membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian) komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah SPKR. Manakala angkubah taraf pendidikan didapati mempunyai perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan dan penilaian program. Angkubah pendapatan pula didapati mempunyai perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian program. Penemuan kajian ini memberi implikasi bahawa faktor pekerjaan dalam kalangan penerima manfaat program adalah elemen yang harus diambil kira dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan komuniti dalam membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian program pembangunan diri yang dilaksanakan. KATA KUNCI: Penyertaan komuniti, program pembangunan, sosioekonomi, komuniti Iban. Abstract: The participation of the local community in a programme is nothing but a vital element that can contribute to the success of the programme implemented. Nonetheless, literature has proven that the readiness of the local community to get involved is often discouraged by several factors. This article concedes that the individual-self, as a factor represented by their level of education, occupation and monthly income strive to be among the elements that can influence the community’s participation in the programmes held. In relation to this, this article seeks to identify the level of education, occupation and income with the participation of the Iban community in the selfdevelopment programme under the People’s Welfare Development Scheme or Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). The study that takes the quantitative measure has been done in the district of Song, Sarawak. The questionnaire forms were distributed to 260 Heads of Household (KIR) of the Iban community at the longhouses. Data obtained were then analysed using the Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) software version 16.0. As a whole, the Chi Square Analysis Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 114

3/11/14 4:39 PM

HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONOMI DAN PENYERTAAN KOMUNITI IBAN

115

on all three variables illustrates that only occupation as a variable has a significant correlation (p ≤ 0.05), in terms of all four levels of participation (decision-making, implementation, benefit-sharing and evaluation) of the Iban community in the self-development programme under the SPKR. In the meantime, the variable of the Level of Education is found to have a significant correlation (p ≤ 0.05) in terms of their level of participation in the decision-making and the evaluation of the programme. Income as the variable also has a significant correlation (p ≤ 0.05), in terms of the level of participation in decision-making, implementation and evaluation of the programme. The discovery has given the implication that the factor of occupation among the benefit recipients serves as an element that needs to be accounted for in the effort to enhance the level of community participation in the stages of decision-making, implementation, benefit-sharing and the evaluation of the self-development program that has been carried out. KEYWORDS: Community participation, development programmes, socio-economic, Iban community. Pengenalan Pendekatan yang telah diakui efektif dan efisien dalam menangani kemiskinan adalah menerusi praktis pembangunan yang mengutamakan penyertaan komuniti sasar. Penyertaan komuniti dapat memastikan ahli komuniti terlibat dan turut serta dalam proses perancangan, pelaksanaan, penilaian dan penambahbaikan kerja di setiap peringkat (Azlizan et al., 2012). Penyertaan komuniti setempat adalah lebih berkesan dan bermakna jika mereka diberi peranan utama dan ruang yang luas untuk ikut serta dari awal lagi dalam proses-proses seperti yang dinyatakan di atas (Haliza, 2010). Penyertaan dalam perencanaan membolehkan komuniti setempat menyuarakan masalah, mengemukakan pandangan dan pendapat, memberi komen dan mendapatkan maklum balas daripada agensi pelaksana serta mencadangkan program atau aktiviti yang berpaksikan keperluan komuniti itu sendiri. Ini kerana komuniti setempat diandaikan lebih tahu tentang soal keperluan hidup mereka dan mempunyai pengetahuan tersendiri yang boleh digunakan untuk merancang serta mengatasi masalah yang berlaku dalam kalangan mereka. Selain itu, keterlibatan komuniti akan dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan mereka untuk turut serta memberi sumbangan dalam pelaksanaan program yang telah direncanakan secara bersama antara komuniti dengan agensi pelaksana program. Keadaan

ini juga akan dapat meningkatkan sokongan, kerjasama dan komitmen daripada komuniti setempat dalam menjayakan program yang akan diimplementasikan di tempat tinggal mereka. Walau bagaimanapun, usaha untuk melibatkan komuniti setempat dalam sesuatu program yang diadakan tidaklah semudah yang dijangkakan. Literatur membuktikan bahawa terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penyertaan komuniti dalam program pembangunan yang direncanakan untuk komuniti setempat (Augustine & Paul, 2012; Awortwi, 2012; Anyoha, 2011; Tahmeena, Ghulam & Muhammad Ishaque, 2010; Haris, 2004; Slamet, 1994; Omar, 1994). Penemuan pengkaji-pengkaji lepas melaporkan bahawa angkubah-angkubah sosioekonomi seperti pendidikan (Augustine & Paul, 2012; Tahmeena, Ghulam & Muhammad Ishaque, 2010; Abdullah, 1992), pekerjaan (Tahmeena et al., 2010) dan pendapatan (Augustine & Paul, 2012; Tahmeena et al., 2010; Abdullah, 1992) mempunyai perkaitan yang positif dengan penyertaan komuniti dalam program pembangunan yang dianjurkan. Faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan komuniti dalam sesuatu program harus dikenal pasti bagi mengatasi masalah yang membatasi penyertaan mereka dalam program yang dilaksanakan. Berdasarkan hasil kajian para sarjana tersebut, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh faktor sosioekonomi ke atas penyertaan komuniti Iban dalam program

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 115

3/11/14 4:39 PM

Kwok Chin Hoe dan Haris Abd Wahab

pembangunan diri di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Dalam kajian ini, faktor sosioekonomi yang dirujuk adalah pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan. Manakala program pembangunan diri pula melibatkan empat buah program pembangunan diri di bawah SPKR yang memiliki ciriciri pembangunan diri iaitu Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP), Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Penyertaan Komuniti dan Faktor Sosioekonomi Terdapat pelbagai takrifan yang diberikan oleh para sarjana berkaitan dengan penglibatan komuniti berdasarkan konteks penggunaan konsep tersebut. Awortwi (2012) mentakrifkan penglibatan komuniti sebagai proses melibatkan penerima manfaat dalam mempengaruhi hala tuju projek pembangunan setempat. Penglibatan komuniti setempat dalam penentuan hala tuju dan pelaksanaan projek adalah penting bagi mewujudkan kepercayaan ahli komuniti setempat bahawa mereka memiliki proses pembangunan yang dilaksanakan di tempat mereka. Keterlibatan komuniti setempat dalam menentukan hala tuju program juga dapat meningkatkan usaha dan komitmen mereka bagi menjayakan projek pembangunan yang dirancang serta mencapai matlamat program yang telah ditetapkan. Cohen dan Uphoff (1977) pula menekankan empat aspek utama dalam memberi takrifan ke atas penglibatan masyarakat luar bandar dalam projek pembangunan. Dalam konteks pembahagian kuasa, Arnstein (1969) mentakrifkan penglibatan sebagai pengagihan semula kuasa untuk membolehkan komuniti setempat dilibatkan agar dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pembangunan yang bersangkutan dengan komuniti tersebut. Aspek-aspek tersebut ialah penglibatan dalam membuat keputusan, penglibatan dalam pelaksanaan, penglibatan dalam berkongsi manfaat dan penglibatan dalam penilaian program pembangunan. Walau bagaimanapun, kesediaan masyarakat setempat untuk melibatkan diri dalam program atau projek

116

yang dilaksanakan oleh kerajaan dipengaruhi pelbagai faktor. Tahmeena et al., (2010) telah menjalankan kajian ke atas 200 sampel bagi mengenal pasti tahap penyertaan orang ramai dalam program pembangunan komuniti dan impaknya ke atas taraf hidup mereka di Tehsil Dera Ghazi Khan, Pakistan. Mereka mendapati bahawa faktor sosioekonomi seperti pekerjaan, pendapatan dan tahap pendidikan berkaitan secara langsung dengan tahap penyertaan orang ramai dalam program pembangunan komuniti. Penemuan kajian ini turut disokong oleh Augustine dan Paul (2012) dalam kajian yang dijalankan bagi menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan golongan petani dalam organisasi sosial di Obubra Local Government Area (LGA). Mereka mendapati bahawa petani dengan tahap pendidikan dan pendapatan yang lebih tinggi lebih cenderung untuk mengambil bahagian dalam organisasi sosial berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap pendidikan serta pendapatan yang rendah. Dalam nada yang sama, Abdullah (1992) yang menjalankan kajian ke atas tahap penyertaan peserta dalam projek Hala Cara Baru (HCB) pembangunan kampung dan luar bandar melaporkan bahawa angkubah-angkubah seperti pendapatan keluarga dan taraf pendidikan mempunyai hubungan yang positif dengan tahap penyertaan peserta dalam projek HCB. Walau bagaimanapun, Abdullah (1992) dalam kajian yang sama mendapati terdapat hubungan yang bererti pada tahap signifikan yang amat rendah antara pendapatan keluarga dengan penyertaan responden dalam projek HCB. Beliau menjelaskan bahawa penemuan ini adalah bertentangan dengan beberapa kajian lepas yang membuktikan semakin kaya seseorang semakin tinggi penerimaan atau penyertaan dalam sesuatu kegiatan. Menurutnya, petani yang kaya dikatakan mempunyai lebih banyak peluang untuk memajukan tanah mereka. Ini kerana mereka mampu membeli input pertanian yang diperlukan untuk memajukan tanah yang dimiliki. Sebaliknya, petani miskin pula dikatakan tidak bersedia untuk melabur modal

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 116

3/11/14 4:39 PM

HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONOMI DAN PENYERTAAN KOMUNITI IBAN

dalam pelbagai aktiviti projek HCB kerana terlalu miskin sehingga tidak mampu untuk mengumpulkan modal (Abdullah, 1992). Metodologi Kajian ini meneliti pengaruh faktor sosioekonomi ke atas penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah SPKR yang dilaksanakan di Daerah Song, Sarawak. Pemilihan daerah ini didasarkan pada fakta bahawa daripada tiga puluh satu buah daerah di Sarawak, Daerah Song adalah antara daerah yang telah mendapat peruntukan yang besar dalam pelaksanaan program pembasmian kemiskinan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Daerah Song yang terletak di kawasan luar bandar merupakan daerah terpencil dan terpinggir daripada arus pembangunan. Semasa kajian ini dijalankan, daerah ini masih tidak mempunyai kemudahan jalan raya yang menghubungkannya dengan daerah atau bahagian lain di negeri Sarawak. Penelitian ini telah mengaplikasikan reka bentuk penyelidikan tinjauan yang melibatkan seramai 260 orang Ketua Isi Rumah (KIR) komuniti Iban di rumah panjang. Pemilihan sampel kajian tersebut berasaskan tiga tahap pensampelan rawak mudah. Pertama, pemilihan kawasan rumah panjang. Kedua, pemilihan rumah panjang. Ketiga, pemilihan responden kajian iaitu KIR di rumah panjang. Pengkaji telah menggunakan kaedah temu bual berasaskan borang soal selidik untuk mengumpulkan data kajian. Borang soal selidik yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada dua bahagian utama. Bahagian pertama soal selidik bertujuan mendapatkan maklumat latar belakang sosioekonomi responden kajian. Maklumat sosioekonomi yang menjadi asas dalam penelitian ini melibatkan tiga angkubah utama iaitu pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan komuniti Iban di rumah panjang. Bahagian kedua pula adalah soal selidik yang direka khusus bagi mengumpul maklumat tentang penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah SPKR. Penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan

117

diri di bawah SPKR diteliti berpandukan empat bentuk penyertaan yang telah dicadangkan oleh Cohen dan Uphoff (1977) iaitu penyertaan dalam membuat keputusan, penyertaan dalam pelaksanaan, penyertaan dalam berkongsi manfaat dan penyertaan dalam penilaian program. Program pembangunan diri yang dimaksudkan dalam kajian ini melibatkan empat buah program pembangunan diri di bawah SPKR yang memiliki ciri-ciri pembangunan diri iaitu Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Kecemerlangan Pendidikan (PKP), Program Pembangunan Minda Insan (PPMI) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Maklumat yang diperoleh melalui borang soal selidik telah dianalisis dengan menggunakan perisian komputer SPSS. Statistik deskriptif telah digunakan untuk mendapatkan data taburan, statistik asas (frekuensi dan peratusan) bagi semua angkubah dalam kajian. Ujian Khi Kuasa Dua pula digunakan untuk menentukan keertian hubungan antara tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan dengan tahap penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah SPKR. Hasil Kajian Tahap Pendidikan Jadual 1 menunjukkan maklumat tentang pendidikan formal yang dimiliki oleh responden yang telah menyertai penyelidikan ini. Secara keseluruhannya, tahap pendidikan responden kajian adalah rendah. Daripada 260 orang KIR, lebih separuh (58.5%) tidak pernah mendapat pendidikan formal atau tidak formal. Tahap pendidikan tertinggi dalam kalangan KIR adalah SPM atau SPMV. Itu pun hanya melibatkan segelintir kecil (0.4%) responden kajian. KIR selebihnya menyatakan mereka hanya mempunyai tahap pendidikan sehingga ke tahap SPR atau UPSR (38.1%) dan PMR (3.0%) sahaja (Jadual 1). Terdapat responden yang menjelaskan antara faktor yang menyebabkan mereka tidak mendapat peluang pendidikan adalah faktor usia, faktor kemiskinan dan faktor infrastruktur. Tahap pendidikan yang

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 117

3/11/14 4:39 PM

118

Kwok Chin Hoe dan Haris Abd Wahab

rendah ini berkait rapat dengan umur responden yang kebanyakannya telah tua. Mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan pendidikan awal dan pendidikan menengah pada umur yang sepatutnya kerana peluang pendidikan ketika itu adalah terhad disebabkan faktorfaktor tertentu. Penduduk di rumah panjang juga turut berhadapan dengan masalah kemiskinan. Kemiskinan menyebabkan ibu bapa tidak dapat memberi kemudahan persekolahan yang cukup kepada anak-anak mereka seperti membayar yuran sekolah, buku teks dan alat tulis. Keadaan sedemikian tidak memungkinkan mereka untuk mendapat pendidikan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada ketika itu. Faktor kedudukan rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman mengakibatkan kawasan berkenaan agak sukar untuk dihubungi sama ada melalui jalan darat mahupun jalan air. Keadaan sedemikian telah menyukarkan lagi proses penyediaan kemudahan sekolah di kawasan berkenaan. Pekerjaan Daripada 260 orang responden, didapati jumlah KIR yang bekerja sendiri (petani) adalah yang paling ramai iaitu lebih separuh (58.5%) daripada KIR bekerja sebagai petani (Jadual 1). Pekerjaan responden ini mempunyai perkaitan rapat dengan tahap pendidikan yang dimiliki oleh mereka. Disebabkan tahap pendidikan yang rendah, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada bekerja sebagai petani. Majoriti daripada mereka yang bekerja sebagai petani masih mengusahakan penanaman padi huma. Penanaman padi ini diusahakan secara kecilkecilan oleh KIR dan dibantu oleh ahli keluarga yang lain. Pengusahaan tanaman padi oleh penduduk rumah panjang juga tidak melibatkan sebarang mesin atau jentera berteknologi tinggi. Selain itu, petani dalam kalangan komuniti Iban di rumah panjang juga masih mengamalkan pertanian secara bergotong-royong. Contohnya, para petani akan saling membantu untuk membersihkan kawasan tanaman rakan mereka. Sumbangan tenaga fizikal mereka tidak akan dibayar dengan wang ringgit. Sebaliknya, petani yang pernah mendapat bantuan daripada

penduduk rumah panjang akan menyumbang tenaganya untuk membersihkan kawasan tanaman rakannya sebagai balasan. Analisis data kajian juga mendapati sebahagian kecil (21.2%) KIR menyatakan mereka tidak mempunyai pekerjaan (Jadual 1). Antara sebab utama KIR terbabit tidak bekerja adalah kerana telah lanjut usia dan tidak mempunyai tenaga fizikal yang cukup untuk membolehkan mereka bekerja. Oleh itu, mereka hanya berehat di rumah dan melakukan tugas-tugas ringan. Sebilangan kecil (11.5%) KIR adalah buruh kasar yang rataratanya terlibat dalam kerja-kerja pembinaan. Hanya segelintir kecil (3.0%) yang bekerja dalam sektor kerajaan. Mereka ini merupakan golongan yang memegang jawatan “tuai rumah” (ketua di rumah panjang) di rumah panjang. KIR yang selebihnya (5.8%) terdiri daripada kalangan wanita yang merupakan suri rumah sepenuh masa (Jadual 1). Jadual 1: Latar Belakang Sosioekonomi. Taraf Pendidikan

Bilangan (Orang)

Peratusan (%)

Tidak Sekolah

152

58.5

SPR / UPSR

99

38.1

PMR

8

3.0

SPM / SPMV

1

0.4

Jumlah

260

100.0

Bilangan (Orang)

Peratusan (%)

Tiada Pekerjaan

55

21.2

Suri rumah

15

5.8

Petani

152

58.5

Buruh Kasar

30

11.5

Pekerjaan

Kerja Kerajaan

8

3.0

260

100.0

Bilangan (Orang)

Peratusan (%)

Kurang daripada RM100

91

35.0

RM101 – RM200

92

35.4

RM201 – RM300

64

24.6

RM301 – RM400

4

1.5

RM401 – RM500

9

3.5

260

100.0

Jumlah Pendapatan Bulanan (RM)

Jumlah

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 118

3/11/14 4:39 PM

HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONOMI DAN PENYERTAAN KOMUNITI IBAN

Pendapatan Bulanan Pendapatan yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah jumlah pendapatan sebenar KIR tanpa mengambil kira pendapatan suami atau isteri, kiriman dan bantuan dari anak-anak dan pendapatan daripada kerja-kerja sampingan. Dari Jadual 1, didapati hanya segelintir kecil (1.5%) daripada KIR di rumah panjang yang memperoleh pendapatan antara RM301.00 hingga RM400.00 sebulan. Cuma 3.5 peratus (sembilan orang) daripada KIR yang tinggal di rumah panjang mampu memperoleh pendapatan bulanan antara RM401.00 hingga RM500.00 sebulan. Lebih ramai daripada responden kajian terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM100.00 sebulan (35.0%), RM101.00 hingga RM200.00 sebulan (35.4%) dan RM201.00 hingga RM300.00 sebulan (24.6%) (Jadual 1). Jika penentuan kemiskinan hanya berasaskan pendapatan KIR, maka kesemua responden yang terlibat dalam kajian ini dikategorikan sebagai miskin (berdasarkan PGK bagi kawasan luar bandar di Sarawak iaitu RM880. Walau bagaimanapun, ukuran kemiskinan berasaskan PGK adalah berdasarkan pendapatan isi rumah). Pendapatan bulanan yang rendah dalam kalangan KIR ini mempunyai perkaitan rapat dengan pekerjaan utama mereka iaitu sebagai petani. Hubungan antara Angkubah Sosioekonomi dengan Tahap Penyertaan Hubungan antara Tahap Pendidikan dengan Tahap Penyertaan Untuk tujuan analisis Khi Kuasa Dua, tahap pendidikan KIR dalam kajian ini

119

telah dikategorikan kepada tiga iaitu “tidak bersekolah”, “sekolah rendah” dan “sekolah menengah”. Hasil analisis Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) antara KIR yang tidak pernah bersekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan dan penilaian program pembangunan diri di bawah SPKR (Jadual 2). Sebaliknya, perkaitan tersebut adalah tidak signifikan (p ≥ 0.05) dari segi penyertaan dalam pelaksanaan dan berkongsi manfaat daripada bantuan program pembangunan diri di bawah SPKR (Jadual 2). Penyertaan dalam pelaksanaan program pembangunan diri di bawah SPKR tidak berbeza dalam kalangan KIR di rumah panjang yang tidak berpendidikan, berpendidikan tinggi dan rendah kerana taraf pendidikan bukan keutamaan dalam pemilihan peserta untuk menerima bantuan di bawah skim tersebut. Sungguhpun memiliki taraf pendidikan yang rendah, KIR yang terlibat masih boleh turut serta dalam pelaksanaan program pembangunan diri di bawah SPKR seperti memberi sumbangan dari segi tenaga fizikal, wang tunai, kemudahan dan peralatan sepanjang pelaksanaan programprogram tersebut di rumah panjang mereka. Begitu juga dengan penyertaan dalam berkongsi manfaat program pembangunan diri di bawah SPKR, di mana bantuan dari segi kemudahan, manfaat dan faedah sosial yang diterima oleh penduduk rumah panjang di bawah skim tersebut tidak dihadkan berdasarkan status pendidikan mereka, sebaliknya, bantuan tersebut lebih memfokuskan kepada KIR atau Ahli Isi Rumah (AIR) yang dikategorikan sebagai miskin dan masih produktif. Mengikut Yunda (2007)

Jadual 2: Hubungan antara Angkubah Sosioekonomi dengan Tahap Penyertaan. Tahap Penyertaan (Nilai X2)

Angkubah Sosioekonomi

1

2

3

4

Tahap Pendidikan

20.018**

6.353

12.305

38.318***

Pekerjaan

56.424***

67.226***

16.388**

58.953***

Pendapatan Bulanan

44.818***

64.179***

18.085

71.413***

1 = Penyertaan dalam membuat keputusan 2 = Penyertaan dalam pelaksanaan

3 = Penyertaan dalam berkongsi manfaat 4 = Penyertaan dalam penilaian

*p ≤ 0.05, **p ≤ 0.01, ***p ≤ 0.001

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 119

3/11/14 4:39 PM

Kwok Chin Hoe dan Haris Abd Wahab

keterlibatan dalam sesuatu aktiviti itu tidak terbatas hanya kerana seseorang itu memiliki tahap pendidikan yang rendah. Sebaliknya, kemahuan dan kesedaran yang ada pada individu itu sendiri sama ada ingin mengambil bahagian atau tidak dalam program yang diadakan yang akan membezakan tahap penglibatannya. Hubungan antara Pekerjaan dengan Tahap Penyertaan Untuk tujuan analisis Khi Kuasa Dua, pekerjaan utama KIR telah dikategorikan kepada tiga kategori iaitu “tidak bekerja”, “bekerja sendiri” dan “makan gaji”. Analisis Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) antara KIR yang tidak bekerja, bekerja sendiri dan makan gaji dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian program pembangunan diri di bawah SPKR (Jadual 2). Penemuan ini menggambarkan bahawa KIR di rumah panjang yang bekerja (bekerja sendiri dan makan gaji) adalah lebih cenderung untuk memiliki penyertaan yang tinggi dari segi membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian program pembangunan diri di bawah SPKR. Keadaan ini berlaku kerana golongan KIR yang makan gaji khususnya “tuai rumah” adalah antara individu yang diutamakan mewakili penduduk rumah panjang dalam aktiviti membuat keputusan berkaitan dengan program pembangunan diri di bawah SPKR. “Tuai rumah” juga lebih cenderung untuk memberi sumbangan dari segi kemudahan dalam pelaksanaan program di bawah skim tersebut di rumah panjang mereka. Golongan KIR yang bekerja turut layak terlibat dalam berkongsi manfaat daripada program pembangunan diri di bawah SPKR. Ini kerana penyediaan program bantuan di bawah skim tersebut tidak hanya dihadkan kepada mereka yang tidak bekerja. Sebaliknya, bantuan program tersebut merangkumi KIR yang bekerja tetapi tahap pendapatan mereka masih berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Dari segi penyertaan dalam penilaian, tahap penyertaan golongan makan gaji (“tuai rumah”)

120

adalah lebih tinggi kerana mereka adalah antara individu penting yang akan terlibat secara langsung dalam membincangkan kemajuan program pembangunan diri di bawah SPKR dengan penduduk di rumah panjang, ketua masyarakat, ketua kaum, pegawai program SPKR dan pegawai program daripada agensi lain. Hubungan antara Pendapatan dengan Tahap Penyertaan

Bulanan

Dalam analisis Khi Kuasa Dua, jumlah pendapatan bulanan KIR telah dikategorikan kepada tiga iaitu “tiada pendapatan”, “RM50 hingga RM250” dan “RM251 ke atas”. Analisis Khi Kuasa Dua menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan (p ≤ 0.05) antara KIR yang tidak berpendapatan, KIR yang berpendapatan RM50 hingga RM250 dan KIR yang berpendapatan RM 251 ke atas dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian program pembangunan diri di bawah SPKR (Jadual 2). Penemuan ini menjelaskan bahawa semakin tinggi pendapatan bulanan yang diperoleh oleh KIR, maka akan lebih mudah untuk mereka melibatkan diri dalam membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian program di bawah skim tersebut. Sebaliknya, perkaitan tersebut adalah tidak signifikan (p ≥ 0.05) dari segi tahap penyertaan berkongsi manfaat daripada program pembangunan diri di bawah SPKR (Jadual 2). Penemuan ini konsisten dengan hasil kajian oleh Augustine dan Paul (2012) dan Tahmeena et al., (2010) yang mendapati terdapatnya perkaitan yang positif antara pendapatan bulanan individu dengan penyertaan mereka dalam program pembangunan yang dianjurkan. Kesimpulan Analisis statistik Khi Kuasa Dua telah dilakukan untuk mengenal pasti sama ada wujud hubungan atau tidak antara angkubah sosioekonomi seperti tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan dengan penyertaan komuniti Iban dalam program pembangunan diri di bawah SPKR. Hasil kajian ini mendapati angkubah

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 120

3/11/14 4:39 PM

HUBUNGAN ANTARA ANGKUBAH SOSIOEKONOMI DAN PENYERTAAN KOMUNITI IBAN

taraf pendidikan mempunyai perkaitan yang signifikan dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan dan penilaian program. Angkubah pendapatan pula didapati mempunyai perkaitan yang signifikan dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan, pelaksanaan dan penilaian program. Manakala angkubah pekerjaan pula mempunyai perkaitan yang signifikan dari segi tahap penyertaan dalam membuat keputusan, pelaksanaan, berkongsi manfaat dan penilaian program. Penemuan ini menjelaskan bahawa angkubah pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan harus diambil kira oleh agensi pelaksana dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan komuniti dalam membuat keputusan dan pelaksanaan program pembangunan diri yang dilaksanakan di tempat mereka. Angkubah pekerjaan dan pendapatan pula adalah elemen yang akan menentukan komuniti setempat memiliki penyertaan dalam pelaksanaan program yang tinggi. Manakala angkubah pekerjaan pula adalah elemen yang menjadi penentu kepada keterlibatan komuniti setempat dalam berkongsi manfaat daripada program pembangunan diri yang dianjurkan untuk mereka. Menurut Ubong (2004) isu pembangunan komuniti terutamanya kawasan rumah panjang di Sarawak masih belum mendapat liputan dan pendedahan secara menyeluruh daripada pengkaji tempatan jika dibandingkan dengan kajian dalam aspek-aspek seperti adat resam dan sistem sosial komuniti tersebut. Justeru itu, penemuan kajian ini diharapkan dapat menampung kelompangan kajian mengenai isu pembangunan komuniti yang melibatkan penduduk di rumah panjang. Selain memenuhi kelompangan tersebut, penemuan daripada kajian ini juga dapat memberi sumbangan dan dijadikan panduan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan terutamanya pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Pejabat Residen Bahagian Kapit serta Pejabat Daerah Song dalam usaha membawa kemajuan, memperbaiki taraf hidup dan membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat Iban. Dapatan kajian ini turut membolehkan agensi-agensi pembangunan yang terlibat

121

mendapat gambaran yang lebih jelas, tepat dan menyeluruh berkaitan dengan elemen-elemen yang mempengaruhi penyertaan komuniti ini. Rujukan Abdullah Yatim. (1992). Tahap Penglibatan Peserta dalam Projek Hala Cara Baru (HCB) Pembangunan Kampung dan Luar Bandar. Masters Thesis, Universiti Putra Malaysia. Anyoha, N. O. (2011). Factors Influencing Rural Women’s Participation in Development Programmes in Rivers State Nigeria: Key for Social Exclusion Elimination. Journal of Community Mobilization and Sustainable Development, 6(1): 31-36. Arnstein, S. (1969). A Ladder of Citizen Participation. AIP Journal, 216-224. Asnarulkhadi Abu Samah. (1988). KEMAS, Pembangunan Komuniti dan Kemiskinan: Satu Kajian Kes di Daerah Jasin, Melaka. Tesis Sarjana Falsafah, Universiti Malaya. Augustine, O. A. & Paul, I. (2012). Socioeconomic Factors Influencing Farmers’ Participation in Community Development Organizations in Obubra Local Government Area (LGA) of Cross River State, Nigeria. Canadian Social Science, 8(1): 54-59. Awortwi, N. (2012).  The Riddle of Community Development: Factors Influencing Participation and Management in Twenty-nine African and Latin American Communitie. Community Development Journal, 1-16. Azlizan Talib, Hamzah Jusoh, Yahaya Ibrahim & Habibah Ahmad. (2012). Penyertaan Komuniti dalam Bidang Keusahawanan Luar Bandar. Geografia-Malaysia Journal of Society and Space, 8(9): 84-96. Cohen, J. & Uphoff, N. T. (1977). Rural Development Participation: Concepts and Measures for Project Design, Implementation and Evaluation. New York: Cornell University Ithaca. Haliza Abdul Rahman. (2010). Penglibatan Masyarakat Peribumi dalam Isu Berkaitan

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 121

3/11/14 4:39 PM

Kwok Chin Hoe dan Haris Abd Wahab

Persekitaran: Tinjauan Terhadap Suku Mah Meri di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. Jurnal Ilmu Kemanusiaan, 17: 111-134. Haris Abd. Wahab. (2004). Penglibatan Masyarakat Tempatan dalam Projek Pembangunan Komuniti. Dalam Dani Salleh (eds), Pembangunan Komuniti: Dasar, Konsep, Strategi dan Isu di Malaysia. Kedah: Penerbit Universiti Utara. Omar Ismail. (1994). Faktor-faktor yang Berkaitan Dengan Penglibatan Pengusahapengusaha Projek Ekonomi di Kawasan KETENGAH dalam Membuat Keputusan. Tesis Sarjana, Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. Slamet. (1994). Pembangunan Masyarakat Berwawasan Peran Serta. Surakarta: Sebelah Maret University Press.

122

Tahmeena Dilshad, Ghulam Yasin & Muhammad Ishaque Fani. (2010). Impacts of Socio- economic Factors on Participatory Community Development: A Case of Tehsil Dera Ghazi Khan. European Journal of Social Sciences, 18(2): 203-209. Ubong Imang. (2004). Pembangunan Komuniti Penduduk Rumah Panjang: Analisis Awal ke Atas Permasalahan Pembangunan di Long Teran, Baram, Sarawak. Dalam Dani Salleh (eds), Pembangunan Komuniti: Dasar, Konsep, Strategi dan Isu di Malaysia. Kedah: Penerbit Universiti Utara Malaysia. Yunda, A. A. (2007). Tingkat Partisipasi Anggota Koperasi dalam Kegiatan Koperasi Perikanan Mina Jaya Muara Angke, Jakarta Utara. Skripsi Sarjana, Institut Pertanian Bogor, Indonesia.

Journal of Business and Social Development Volume 2(1) 2014: 114-122

14. Pengaruh Faktor.indd 122

3/11/14 4:39 PM

Suggest Documents