KONFLIK PERPADUAN KAUM DALAM KETAMADUNAN MASYARAKAT MELAYU MALAYSIA

718 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilizati...
Author: Aldous Palmer
203 downloads 2 Views 399KB Size
718 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

KONFLIK PERPADUAN KAUM DALAM KETAMADUNAN MASYARAKAT MELAYU MALAYSIA Siti Khatijah Yasin & Fadzli Adam Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia. [email protected] [email protected]

Abstrak Artikel ini memaparkan kupasan mengenai persoalan konflik perpaduan kaum dalam ketamadunan masyarakat Melayu di Malaysia. Ketamadunan yang gemilang dalam sesebuah masyarakat merupakan hasil yang dicernakan oleh tingkah laku masyarakat itu sendiri dalam mencorakkan sesebuah tamadun yang baik serta bersih dari segala persengketaan dan perpecahan. Konflik dalam masyarakat sering dimainkan sehingga menimbulkan sensitiviti dan pergaduhan antara agama dan kaum. Konflik perpaduan kaum yang berlaku dalam negara bukan sahaja datang dari pihak orang bukan Islam kepada agama Islam, malah ada juga konflik yang ditimbulkan oleh orang Islam kepada agama lain. Objektif dalam artikel ini memperlihatkan bagaimana masyarakat Melayu beragama Islam sering diserang dan dipermainkan sehingga mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Artikel ini akan memfokuskan kepada bentuk-bentuk serangan yang sering dilontarkan kepada agama Islam. Kaedah yang digunakan dalam penulisan ini adalah analisis dokumen. Kajian ini akan menganalisis konflik-konflik yang berlaku kepada masyarakat Islam dalam kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji terdahulu. Hasil kajian menunjukkan bahawa banyak konflik yang timbul sejak muktahir ini sehingga mencemarkan ketamadunan Melayu Islam di mata masyarakat dunia. Kata Kunci: Agama, Ketamadunan, Konflik, Perpaduan Kaum

1.

PENGENALAN Ibn Manzur (1997) dalam Lisan al-Arab menggunakan istilah madiniah, tamadun dan hadarah bagi menggambarkan erti tamadun. Ibn Khaldun (1990) dalam kitabnya Muqaddimah Ibn Khaldun telah mengemukakan istilah umran dan hadarah bagi memberi definisi tamadun sebagai beberapa keadaan dan peristiwa biasa yang melebihi dari patut, terbit dari peristiwa-peristiwa pembangunan. Tamadun mungkin bertambah dengan bertambahnya kemajuan. Tetapi, ia masih perlu berteraskan kemanusiaan. Syed Naquib al-Attas (1977) dalam bukunya Islam Fahaman Agama Dan Asas Akhlak mendefinisikan tamadun sebagai keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai taraf tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat. Arnold Toynbee (1972) dalam bukunya A Study of History mendefinisikan tamadun sebagai sejenis kebudayaan yang berkembang di dalam kota. Beliau menambah, tamadun juga ialah satu kumpulan pemikiran dari pelbagai manifestasi, orientasi yang berterusan, satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab membentuk institusi politik, kesusasteraan, agama dan moral. Manakala bagi Darcy Riberio dalam bukunya The Civilised Society mendefinisikan tamadun adalah puncak

719 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

pencapaian sesuatu masyarakat dalam proses kemajuan (Muhamad Iqbal Abideen 2006). Ketamadunan Islam pernah berada di puncak kegemilangan dengan kombinasi kecemerlangan yang dicapai di Timur dan Barat. Di sebalik Timur, kemajuan yang dicapai di Kufah, Baghdad dan Damsyik menjadi titik tolak ke arah melonjakkan tamadun Islam. Manakala di sebelah Barat, kejayaan menguasai Sicily telah membuka mata dunia. Manakala kejayaan yang dicapai di Andalusia tidak dapat ditandingi pada waktu tersebut oleh kuasa-kuasa Eropah yang lain. Penguasaan Islam ke atas blok Timur dan Barat itu seakan menunjukkan kekuatan dan menjelmakan keizzahan umat Islam lampau sehingga mereka dijadikan contoh dalam pembinaan tamadun barat (Roslan 2010). Sesebuah ketamadunan akan runtuh jika masyarakat tidak bersatu walaupun berlainan bangsa dan agama. Penyatuan dan sikap toleransi perlu dipupuk dalam masyarakat agar pembangunan sesebuah tamadun akan terhindar dari segala konflik dan pergaduhan yang mencacatkan kegemilangan sesebuah tamadun. Namun muktahir ini, pelbagai konflik yang dilemparkan kepada agama Islam sehingga membawa kepada sensitiviti agama dan kemarahan umat Islam pada bangsa lain. Konflik antara agama sentiasa berlaku dan hal ini terbukti melalui sejarah sebagai contoh, pada sekitar tahun 1095, Perang Salib yang pertama telah dimulakan oleh Gereja Roman Katolik untuk menawan semula tanah suci di sekitar Baitulmaqdis (Jerusalam) daripada tawanan Islam. Di Malaysia sendiri terdapat beberapa kes yang mencabar perpaduan masyarakat berbilang agama antaranya adalah serangan ke atas gereja Katolik di Lembah Klang Taiping dan Seremban serta Gurdwara Sikh di Sentul pada awal 2010 kerana isu kalimah Allah yang sehingga kini masih diperdebatkan. Masyarakat Malaysia terus hidup dalam keharmonian yang disaluti hipokrasi dengan prasangka dan stereotaip tertentu terhadap penganut agama yang lain. Konflik dalam konteks agama ini juga bukan berlaku kepada orang Islam akan tetapi ada dikalangan penganut Islam yang cuba membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada perselisihan yang melibatkan agama lain. 2.

MALAYSIA NEGARA KEPELBAGAIAN AGAMA Menurut Ramli Awang (2008), agama membawa maksud menjalankan suatu peraturan bersifat moral untuk menghindari kekacauan dalam hidup yang tujuannya untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagian. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya dan mereka menjalankan kehidupan sosial dengan mengamalkan sikap toleransi antara mereka.

720 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

Bumiputera

Cina

India

Lain-lain

7% 1%

25% 67%

Carta di atas jelas menunjukkan bahawa terdapat tiga etnik yang terbesar di Malaysia iaitu Bumiputera (Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak), Cina dan India. Etnik Melayu menunjukkan etnik terbesar iaitu sebanyak 67% dan diikuti dengan etnik Cina sebanyak 25%, India 7% dan hanya 1% mewakili lain-lain etnik. Statistik ini memperlihatkan kemajmukan masyarakat di Malaysia yang terbahagi kepada tiga etnik yang besar iaitu bumiputera yang terdiri daripada etnik Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina dan India serta etnik-etnik lain. Sungguhpun Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni dalam ketegori negara majmuk, namun segentir sarjana seperti Khoo Kay Kim (2007) menyatakan Malaysia berada dalam keadaan ‘worrying and fragile state’, manakala Shamsul Amri (2007) pula menyatakan ‘tegang tapi stabil’. Namun begitu, di sebalik kepelbagaian agama dan bangsa yang wujud di Malaysia, konflik antara mereka tidak pernah reda dan sehingga kini masih lagi wujudnya sikap kepentingan diri sehingga mereka melihat agama lain dengan persepsi negetif. Menurut Chandra Muzaffar, kontroversi kaum di Malaysia boleh dibahagikan kepada beberapa fasa, bermula dari tahun 1950-an. Pada ketika itu, isu kewarganegaraan dan kontrak sosial mendominasi hubungan kaum, diikuti dengan isu bahasa pada tahun 1060-an sebelum Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), manakala isu kuota dan urbanisasi mencorakkan hubungan etnik sekitar tahun 1970an dan 1980-an. Dalam tahun 1990-an dan millennium pula, isu-isu agama mempunyai pengaruh besar dalam hubungan etnik di negara ini. Isu-isu berkenaan agama yang muncul sejak akhir-akhir ini, berbanding isu-isu lain dalam hubungan kaum di Malaysia, menurut Chandra Muzaffar begitu kritikal impaknya (Baharum Mahusin 2006). 3.

ISU KONFLIK MEMBABITKAN PENGANUT AGAMA ISLAM Melihat dimensi agama dalam konteks konflik perpaduan kaum amat sensitiviti dan meruncing dalam kehidupan masyarakat kini, agama dilihat sebagai alat berlakunya sesuatu konflik dengan timbulnya isu-isu yang menyentuh kesucian agama terutama agama Islam yang menjadi agama rasmi negara sehingga membawa perbalahan antara kaum khususnya di dunia dan di Malaysia amnya. Di dalam perlembagaan Malaysia, Perkara 3 menyatakan bahawa meskipun agama rasmi negara Malaysia adalah Islam, penganut agama yang lain adalah dibenarkan untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam kesejahteraan dan keharmonian. Hal ini turut dinyatakan dalam Perkara 11 bahawa setiap warganegara adalah bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Walau

721 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

bagaimanapun, dengan tertegaknya perlembagaan ini, konflik antara penganut berlainan agama tidak akan berlaku dalam masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Sebagai contoh, timbulnya satu kes dua rakyat Malaysia berbangsa Cina, iaitu Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah menyiarkan gambar dan video bogel mereka di blog, (Karmini 2013). Namun, bloger yang penuh kontroversi Alvin Tan telah sekali lagi bertindak biadab dengan menghina umat Islam dengan merakam lagu azan “Muslim Call to Prayer-Azan” yang dimuat turun dalam akaun facebooknya sehingga mendatangkan kemarahan dari kalangan Islam dan bukan Islam (Sinar Harian, 21 April 2015). Perbuatan yang sedemikian merupakan satu tindakan yang menyinggung sensitiviti umat Islam dan menimbulkan kemarahan dalam masyarakat di Malaysia. Selain itu, bagaimana satu isu kontroversi operasi JAIS terhadap Gereja DUMC ini mendapat liputan yang begitu meluas oleh pihak media apabila dikatakan terdapat 12 orang muslim cuba dimurtadkan pada majlis tersebut. Kejadian yang berlaku pada bulan Ramadhan, 3 Ogos 2011 telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam media arus perdana (Utusan Malaysia, 5 Ogos 2011). Pemeriksaan dibuat berdasarkan maklumat awam yang mendakwa berlakunya jemputan beberapa orang Islam ke Majlis Berbuka Puasa yang dinamakan Thanksgiving Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1955 iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina. Serangan kepada agama Islam amat meruncing dan jika perkara sebegini dipandang mudah, kebangkitan kemarahan umat Islam kepada agama lain akan lebih mendalam dan permusuhan sukar untuk diredakan jika keadaan ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin. Hal ini dibincangkan oleh Chandra Muzaffar (2011) bahawa kesedaran masyarakat masa kini mengenai identiti berasaskan agama semakin kuat berbanding pada masa dahulu sebagai contoh apabila kartun yang menzahirkan Nabi Muhammad telah diterbitkan dalam satu ruangan akhbar tempatan Denmark, para penganut Islam di seluruh dunia mengecam pihak akhbar tersebut. Tindakan orang bukan Islam terhadap agama Islam sering menimbulkan permasalahan dan campur tangan ke atas kesucian agama Islam yang terdiri dari aspek perundangan dan hukum-hukum Islam. Ini dibuktikan lagi dengan pandangan Rahimin Affandi (2003) iaitu yang berkenaan dengan Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Sivil (JTSS) yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan proses review dan perubahan terhadap sistem perundangan Islam dan sivil agar kedua-duanya lebih bersifat Malaysia sering dianggap secara negetif oleh penganut agama bukan Islam. Hal ini telah menyebabkan proses reviewing ini dijalankan secara low profile bagi mengelakkan bantahan golongan bukan Islam. Salah seorang ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan aspek yang berkaitan dengan negara Islam. Beliau menyatakan Malaysia tidak boleh dijadikan negara Islam kerana kurang dari 60% penduduk di Malaysia yang beragama Islam. Beliau tetap berpenderian Malaysia adalah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Beliau turut menyentuh berkaitan negara Indonesia dengan penduduk Islam terbesar di dunia melebihi 200 juta penganut Islam adalah sebuah republik sekular dengan lima agama yang diiktiraf secara rasmi. Selain itu, baginya tiada prasyarat bahawa sebuah negara yang menjadi tuan rumah kepada OIC semestinya sebuah negara Islam dan fakta bahawa Malaysia menjadi tuan

722 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

rumah kepada Sidang Kemuncak OIC ke-10 tidak bererti bahawa Malaysia adalah negara Islam (Thock Ker Pong 2005). Ini dibuktikan dengan penghinaan terhadap pelaksanaan hukum hudud yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan PAS Kelantan yang membabitkan Aisyah Tajuddin yang berperanan sebagai pengacara mempersoalkan kepentingan pelaksanaan hudud dengan gaya menyindir dengan mimik (ekspresi) muka menjengkelkan dengan memuat turun video selama 1 minit 55 saat. Perbuatan sedemikian telah menimbulkan kemarahan bagi penganut Islam dan perbuatan sedemikian telah menghina hukum Allah yang telah dicatatkan dalam kalam suci al-Quran al-Karim (Online Merdeka, 20 Mac 2015). Menurut Azian Aziz (2009) terdapat isu pembinaan Kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam yang telah menimbulkan kemarahan penduduk Melayu Islam di kawasan berkenaan. Kes ini bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu. Menurut beliau lagi, ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat bagi menyuarakan bantahan tersebut. Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Tindakan ini menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu, mereka merasa terhina dengan tindakan tersebut. Kesan daripada masalah ini telah mengakibatkan hubungan penganut Islam dengan penganut India menjadi tegang. KESIMPULAN Kegemilangan sesebuah tamadun akan lahir jika masyarakatnya mengamalkan toleransi dan kerjasama dalam segala bentuk kehidupan. Bagi mengekalkan keharmonian dalam sesebuah negara, masyarakat perlu dibentuk satu komuniti yang saling berhubungan di antara satu sama lain tidak mengetepikan mana-mana bangsa dan agama yang wujud dalam komuniti supaya membentuk semangat perpaduan antara mereka dan sekaligus menghindarkan akan timbulnya konflik perpaduan kaum dalam komuniti sesebuah masyarakat itu. Setiap penganut agama pasti akan mempertahankan kesucian dan keharmonian agama masing-masing daripada ditindas dan dipermaikan oleh penganut agama lain. Dengan kewujudan kepelbagaian agama sudah pasti tidak dapat tidak akan berlaku konflik antara agama. Setiap masyarakat perlu memupuk sikap hormat-menghormati, toleransi, kerjasama antara agama supaya masing-masing akan menikmati kedamaian yang akan lahir jika mereka mengaplikasikan perlakuan yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

RUJUKAN Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1977. Islam: Faham Agama Dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Azian Aziz (2009, September 3). Selesaikan isu kuil . Utusan Malaysia

723 6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century eISBN: 978-967-13705-0-6

Chandra Muzaffar (2011). Exploring Religion in Our Time. Pulau Pinang; Penerbitan Universiti Sains Malaysia Hornby A.S & Parnwell E.C. 1972. Kamus Progresif Inggeris- Melayu. Terj.Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti. Ibn Khaldun, Abu Zayd ‘Abd al-Rahman Bin Muhammad bin Khaldun (732 808H).1990.Muqaddimah. Beirut: Dar Ihya al-Turath. Ibn Manzur, Jamaluddin Muhamad Bin Mukkaram (627-710H).1997. Lisan al-Arab. Beirut: Dar Ihya al-Turath. Karmini, A.N. 2013. Framing Moral Panic: A Comparative Analysis of the Alvin& Vivien Blog Coverage by The Star and MalaysiaKini. Artikel ini dibentangkan di persidangan Asian Media Information and Communication, 2013 Khoo & Kay Kim. 2007. The Making of Malaya, 1946-1955: The Fruit Cooperation. Dalam Voon Phing Keong (Ed). Malaysian Chinese and Nation Building:Before Merdeka and Fifty Years After. Kuala Lumpur: Centre for Malaysian Chinese Studies. Mohd Roslan Mohd Nor. 2010. Meneladani Sejarah Umat Islam Dalam Membentuk Masyarakat Hadhari yang Gemilang Abad ke 21. Jurnal Hadhari 2(2) (2010)1940. UKM Muhamad Iqbal Abideen. 2006. Islam Hadhari :Relevan Sepanjang Zaman. Kuala Lumpur: Penerbitan Seribu Dinar. Online Merdeka, 20 Mac 2015 Rahimin Affandi Abd.Rahim, Mohd Anuar Ramli, Paizah Ismail & Nor Hayati Mohd Dahlal. 2011. Dialog Antara Agama :Realiti dan Prospek di Malaysia. Universiti Sains Malaysia. Ramli Awang. 2008. Dialog Antara Agama dari Perspektif Al-Quran. Johor Bahru: Cetak Ratu Sdn. Bhd Shamsul Amri Baharuddin. 2007. Modul Hubungan Etnik. Putrajaya : Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia Sinar Harian, 21 April 2015 Thock Ker Pong. 2005. Hala Tuju Politik Masyarakat Cina Malaysia Kontemporari Politik Desakan vs Politik Kompromi. Pemikir, Bil 41. Toynbee A.J. 1972. A Study of History. New York: Weathervanee Books. Utusan Malaysia, 5 Ogos 2011

Suggest Documents