Ke Arah Pembinaan Kurikulum Bersepadu Teknologi Maklumat: Satu Pemikiran Awal Mokmin Basri & Siti Zaharah Mohid. 2002. Ke Arah Pembinaan Kurikulum Bersepadu Teknologi Maklumat: Satu Pemikiran Awal. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (Siri 1), hlm. 196-204. ISBN: 983-2446-48-1. Abstrak Usaha-usaha ke arah kesepaduan ilmu sepatutnya sudah menjadi agenda kerja utama bagi Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awan dan Swasta. Saranan keempat hasil Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia pada Mac 1977 dengan jelas menyebut, “Islamic humanities must be an integral part of technical curricula at all levels of education. Similarily, natural sciences studies should be introduced in humanities curricula”. (S. Waqar Ahmad Husaini, 1986) Malah saranan ini diperkuatkan lagi dalam persidangan kedua Pendidikan Islam pada Mac 1980, dengan memperakui bahawa sains sosial dan kemanusiaan Islam (Shar`iyyah science) berpostensi untuk melahir, membangun dan menyelanggara perkembangan sains dan teknologi. Secara lebih spesifik, dalam Seminar Pemikiran Islam ketiga peringkat antarabangsa pada 1984 di Kuala Lumpur mengakui bahawa pengislaman sains dan teknologi perlu dilaksanakan kerana ia adalah salah satu cabang ilmu yang penting dalam usaha pengislaman ilmu secara keseluruhan. Para pendokong ilmu harus menyedari bahawa dualisma dalam pendidikan harus diubati dengan kadar segera kerana penyakit ini akan menimbulkan pelbagai malapetaka seperti kebiadapan kepada Pencipta, kebejatan sosial dan seumpamanya lebih-lebih lagi di era globalisasi dan tanpa sempadan ini. Perkara tersebut sebenarnya telah dibimbangi oleh Prof. Seyyed Hosein Nasr dengan katanya, “... bahawa meskipun sains itu sendiri adalah sesuatu yang sah (legitimate), tetapi peranan, fungsi dan aplikasi sains telah menjadi tidak sah (illegitimate), MALAH merbahaya akibat ketiadaan ilmu yang lebih tinggi martabatnya (a higher form of knowledge) yang dengannya sains seharusnya diintegrasikan, juga akibat kehancuran nilai kekudusan dan kerohanian alam tabii.” Jelas di sini bahawa seolah-olah tidak boleh tidak perlaksanaan konsep kesepaduan dalam pendidikan mesti dilakukan sebagai pra-syarat kepada pencapaian kejayaan wawasan negara adalah natijah dari pelajar-pelajar seperti Zulqarnain seperti yang dikisahkan dengan jelas oleh Allah melalui surah al-Kahfi ayat 98. Firman Allah Taala yang bererti: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Ia akan menjadi tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.

Dalam lain perkataan, pendidikan akan melahirkan insan-insan yang berjaya membangunkan teknologi tinggi namun jauh disudut hati nuraninya kebesaran Allah mengatasi segalanya, mengakui bahawa segala pencapaian yang dicapai adalah dengan izin Allah Taala jua.

196

Fasa untuk memberi faham kepada ummah, khususnya kelompok yang berada didalam bidang pendidikan sepatutnya sudah selesai. Fasa seterusnya adalah fasa perlaksanaan agenda besar ini. Pra-syarat kepada perlaksanaan agenda ini adalah pembentukan kurikulum yang bersepadu disemua peringkat tahap pendidikan dalam semua bidang. Tidak ketinggalan bidang yang baru memuncak naik iaitu bidang teknologi maklumat. Daripada tinjauan awal penulis, tiada penulisan yang khusus membincangkan bagaimana ilmu teknologi maklumat ini dapat disuntikkan nilainilai murni ke dalam kurikulumnya. Dengan itu penulis merasakan tulisan ini hanyalah satu asas ringkas yang perlu kepada pembaikan dan pemurnian seterusnya. Dalam kertas kerja ini nanti, `Insya Allah persoalan bagaimana usaha-usaha boleh dilakukan bagi membentuk insan Muslim melalui pendidikan bersepadu teknologi maklumat. Sebelum membincangkan dengan lebih terperinci perlaksanaan kesepaduan ilmu dalam bidang teknologi maklumat, beberapa konsep asas kepada bidang ini akan dibentangkan.

Teknologi Maklumat Dari Perspektif Barat Secara umumnya, menurut Haag, Cummings & McCubbrey (2002) teknologi maklumat (TM) adalah apa juga peralatan yang berasaskan komputer yang digunakan bersama-sama maklumat dan menyokong maklumat dan keperluan memproses maklumat yang diperlukan oleh sesuatu organisasi (any computer-based tool that people use to work with information and support the information and information-processing needs of an organization). Menurut mereka lagi teknologi maklumat menyokong di dalam perniagaan melalui empat cara; i.

Tugasan memproses-maklumat

ii.

Tugasan membuat keputusan

iii.

Perkongsian maklumat melalui pengkomputeran berpusat

iv.

Inovasi

Manakala bagi membicarakan kesan TM di dalam kurikulum pendidikan pula, Jon Scaife dan Jerry Wellington (1993) ada menyebut bahawa terdapat tiga kesan dan pengaruh teknologi maklumat di dalam pendidikan iaitu; i.

Teknologi maklumat masuk ke dalam bidang pendidikan sebagai satu alat pedagogi yang baru. Oleh kerana sifatnya yang interaktif, teknologi maklumat banyak digunakan sebagai alat bantuna mengajar terutama untuk pengajaran kurikulum yang penting.

ii.

Pengenalan teknologi maklumat di dalam pendidikan adalah juga berdasarkan kepada tekanan social (sociological pressure) daripada ibubapa penjaga, organisasi antarabangsa dan kerajaan.

iii.

Pengenalan teknologi maklumat dalam pendidikan telah memberikan tekanan ekonomi (economic pressure). Tekanan ini lahir dari kenyataan-kenyataan seperti ‘keperluan industri’, kekurangan tenaga pekerja, dan ‘keperluan kepada kepakaran dalam teknologi maklumat’.

197

Teknologi Maklumat Dari Perspektif Islam Daripada beberapa definisi yang telah dikemukan tadi, teknologi maklumat yang digembargemburkan sebagai hebat itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah suatu alat yang digunakan untuk menyampaikan maklumat melalui cara yang dikaji paling berkesan dan pantas. Itulah apa yang dikatakan sebagai teknologi maklumat dari perspektif barat. Jikalau diperhalusi, teknologi maklumat yang diterajui oleh barat tidak membincangan tentang isikandungan (Contents) secara serius. Insya’ Allah dalam bahagian ini penulis cuba untuk membicangkan teknologi maklumat dari kacamata Islam. Di dalam al-Quran terdapat kira-kira 41 ayat yang membicarakan tentang berita. Antara ayat al-Quran yang menyebut tentang berita adalah surah al-A’raaf ayat 57;

Terjemahannya; Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). Sebagai peneraju teknologi maklumat Muslim, golongan ini tidak dapat lari daripada beberapa persoalan penting iaitu, matlamat kurikulum teknologi maklumat, isi kandungan informasi teknologi maklumat, dan cara dan gaya penyampaian informasi melalui teknologi maklumat dan penerima informasi teknologi maklumat

Matlamat Kurikulum Teknologi Maklumat Kurikulum teknologi maklumat, seperti ilmu-ilmu yang lain matlamatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai tahap keimanan dan mengesakan Allah. Professor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas (1977) dalam membicarakan tentang ilmu ada mengatakan bahawa ilmu itu termasuk iman dan tujuan ilmu itu adalah untuk mengasuh, memupuk, menjelmakan kebaikan yang bermaksud keadilan dalam diri insan sebagi insan itu sendiri. Iaitu, insan yang hakiki dirinya yang sebenarnya, tiada lain melainkan insan ruhani diri akalinya jua. Insan seperti dalam surah al-Araf ayat 172, yang mengakui bahawa Allah adalah Tuhan bagi semua insan.

198

Terjemahannya; …"Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi"… Potensi untuk mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhan bagi manusia tidak mustahil boleh digilap dan dimurnikan melalui kurikulum teknologi maklumat dengan syarat nilai-nilai seperti yang akan dibincangkan di bawah diintegrasikan dengan kurikulum dari barat. Isi Kandungan Informasi Teknologi Maklumat Jikalau diperhatikan, segala teori yang dikemukakan oleh saintis teknologi maklumat barat, tidak satu pun yang membicarakan tentang bagaimana bentuk dan nilai informasi yang digerakkan melalui medium teknologi maklumat itu. Tetapi bagi peneraju teknologi maklumat Muslim isu isi kandungan informasi adalah isu yang pokok dan perlu diambil berat. Bukankah disamping kecantikan, kepelbagaian, dan kehebatan ciptaan Allah itu, sebenarnya isikandungan (Contents) yang hendak disampaikan oleh Allah adalah untuk menunjukkan tanda-tanda kebesaran dan kekuatan-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud; Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya. (Yunus: 101)

Jelas dalam ayat di atas, Allah taala menciptakan kejadian yang menakjubkan itu dengan tujuan untuk membuktikan ke-Esaan Allah dan kekuasaan-Nya. Melihat pula bidang tugas Rasulullah s.a.w., Baginda diamanahkan bagi menyampaikan perintah-perintah dari Allah dan juga memberi nasihat seperti yang terdapat dalam banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang tanggungjawab ini. Antara ayat al-Quran yang menyebut tanggungjawab ini adalah firman Allah yang bermaksud; "(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (al-A’raaf :62)

Dari ayat-ayat al-Quran di atas, jelas tidak boleh tidak peneraju teknologi maklumat Muslim yang mengaku umat Nabi Muhammad s.a.w. dan yang amanah perlu melihat isikandungan yang ingin disampaikan iaitu mempunyai nilai-nilai benar, tepat, dan hak serta jauh dari maklumat yang salah, bohong, kosong dan tidak dimengerti. M. Quraish Shihab (2000).

199

Cara dan Gaya Penyampaian Informasi Melalui Teknologi Maklumat Dalam membicarakan tentang bagaimana cara penyampaian maklumat yang terbaik, wajib sebagai seorang Muslim mempercayai bahawa cara penyampaian Allah adalah cara yang terbaik. Bagi menyampaikan maksud dan isikandungan kebesaran Allah itu, dua pendekatan (Maha Suci Allah yang boleh menciptakan pelbagai pendekatan) seperti yang dibicarakan oleh Dr Zainudin Jaffar (2000) adalah melalui tanda-tanda yang dilihat (al-ayah al-manzurah) dan melalui tandatanda yang dibaca (al-ayah al-maqru’ah). Bagi seorang saintis multimedia Muslim, keindahan dan kehebatan cara Allah menyampaikan kebesaran-Nya patut menjadi ikutan sewaktu menggunakan teknologi maklumat. Dalam hal ini, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas (1989) mengakui bahawa alam semester adalah ayat-ayat yang simbolik iaitu suatu bentuk lain bagi menyampaikan kebesaran dan keagungan-Nya. Beliau menyatakan bahawa: “The world of nature as depicted in the Holy Qur’ān is composed of symbolic forms (āyāt), like words in a book. Indeed, the world of nature is another form of the Divine Revelation analogous to the Holy Qur’ān itself, only that the great, open book of nature is something created; it presents itself in multiple and diverse forms that partake of symbolic existence by virtue of being continually articulated by the creative word of God”. Malah terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’ān yang menggesa manusia agar memerhati, mengkaji dan menyelidiki alam semester agar manusia dapat melihat bagaimana cantiknya pula cara penyampaian ilmu kepada seluruh umat manusia dan pada akhirnya nanti mengakui kebesaran dan kehebatan Allah. Firman Allah Taala dalam al-Qur’ān melalui surah Ali-Imran ayat 190;

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tandatanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.

Selain itu, M. Quraish Shihab (2000) ada mensyarahkan maksud perkataan balîghâ dalam ayat 63 Surah Al-Nisa’ yang bermaksud; “Katakan kepada mereka mengenai diri mereka ucapan yang balîghâ”

200

Menurut beliau beberapa kreteria perlu dipenuhi supaya pesan atau maklumat yang disampaikan dapat dinamai balîghâ. Kriteria-kriteria tersebut menurut beliau adalah; a.

Tertampungnya seluruh pesan dalam kalimat yang disampaikan

b.

Kalimatnya tidak beretele-tele, tetapi tidak pula singkat sehingga tidak mengaburkan pesan. Terkandung dala pengertian cukup, adalah tidak berlebih dan tidak pula berkurang.

c.

Kosakata yang merangkai kalimat tidak asing bagi pendengaran dan pengetahuan lawan bicara. Lawan bicara/orang kedua yang boleh jadi sejak semula menolak pesan atau meragukannya, atau boleh jadi juga telah meyakini sebelumnya atau belum memiliki ide sedikit pun tentang apa yang akan disampaikan.

d.

Kesesuaian ucapan dengan tata bahasa.

Manakala dalam ayat yang lain, Allah telah berpesan kepada Nabi Musa dan Nabi Harun a.s. bagi menghadapi penguasa yang kejam, Fir’aun dengan firman-Nya yang bermaksud; “Berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan qaulan layyinan, mudah-mudahan dia ingat atau takut” (Tha’ha:44) Layyinan terdiri dari huruf lâm, yâ, dan nûn yang mengandungi erti “kelembutan”. Lemah lembut (tidak kasar), bukan bererti tidak menyampaikan kebenaran atau menyembunyikannya. Akan tetapi, kebenaran yang disampaikan, bahkan kritik yang dilontarkan, hendaklah tidak menyinggung perasaan, apalagi menimbulkan amarah. M. Quraish Shihab (2000) Penulis berpendapat bahawa kriteria di atas perlu dipenuhi bagi menyampaikan informasi oleh peneraju teknologi maklumat Muslim. Perkataan yang lembut itu bolehlah dikiaskan dengan menulis dan menggunakan bahasa yang baik, font type yang sesuai, warna latar yang sesuai, susun atur maklumat, gambar dan bunyi yang sesuai, serta kelajuan yang memadai bagi pindahturun (upload dan download) sesuatu maklumat.

Penerima Informasi Teknologi Maklumat M. Quraish Shihab (2000) ada menyatakan bahawa beberapa prinsip dasar telah diletakkan oleh al-Quran bagi penerima informasi. Prinsip ini adalah berdasarkan firman Allah Taala yang maksudnya; Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu diminta pertanggungjawabannya. (al-Isra’: 36)

Seseorang Muslim yang baik harus pandai memilih apa yang wajar didengarnya untuk dicamkan dan diperkenankan, dan apa pula yang tidak wajar. Itu adalah salah satu dari sifat ulul albab yang dipuji oleh Allah. Mereka adalah orang yang seperti difirmankan oleh Allah yang bermaksud:

201

Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang terbaik diantaranya (al-Zumar: 18) Prinsip-prinsip di atas wajar dijadikan asas bagi seseorang penerima informasi melalui teknologi maklumat lebih-lebih lagi bagi seorang Muslim. Beberapa Prinsip dan Nilai Lain Di Dalam Teknologi Maklumat Yang Perlu Di Terapkan Dalam bahagian ini pula, penulis akan membicarakan beberapa prinsip dan nilai yang perlu ditekankan semasa pengajaran, pembelajaran, dan penggunaan teknologi maklumat.

i.

Niat lillahi-taala

Penilaian segala gerak zahir dan batin insan hanya akan sah dan diterima oleh Allah jika diniatkan semata-mata untuk-Nya sepertimana sabda Rasulullulah s.a.w. yang bererti “Sesuatu amalan itu adalah bergantung kepada niatnya”. Justru itu, pengajaran dan pembelajaran Multimedia juga tidak terlepas dari diniatkan semata-mata mencari keredaan dari Allah.

ii.

Mulakan dengan bacaan al-Fatihah

Setiap sesi pembelajaran, penulisan buku dan juga menggunakan peralatan teknologi maklumat mestilah bermula dengan bacaan umul kitab seperti yang pernah disarankan oleh Associate Professor Dr. Mohammad Abdus Samí (1983). Malah ayat pertama – iqra’ yang diturunkan oleh Allah juga memerintahkan agar setiap Muslim membaca dan melakukan segala perkara dengan Nama Allah. Maka pengajaran dan pembelajaran kurikulum teknologi maklumat juga sepatutnya tidak terlepas dari melaksanakan asas yang mudah tapi penting ini.

iii.

Kesedaran untuk memartabatkan agama

Hasil dari Persidangan Kedua Pendidikan Islam pada Mac 1980 di Islamabad, Pakistan beberapa kajian tentang bangun dan jatuhnya tamaddun dan Sains Islam telah dilakukan. Beberapa cadangan telah dikemukakan untuk mengembalikan semula kepimpinan dunia dalam segala hal kepada umat Islam sesuai dengan statusnya sebagai Umat Terbaik (Khaira Ummah) dan khalifah itu. Diantaranya cadangannya adalah memperkenalkan kurikulum Falsafah dan Sejarah Sains Islam. Pengenalan ini penting agar penuntut menyedari bahawa segala bidang dan tidak terkecuali bidang teknologi maklumat ini harus dipimpin oleh umat Islam agar bencana seperti yang telah diperkata oleh Prof. Dr Seyyed Hosein Nasr di atas tidak terjadi, ketinggian martabat dan maruah agama Islam tidak dipermain-mainkan dan apa yang dicita-citakan iaitu pembinaan tamaddun Islam seperti yang digambarkan oleh Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi (1999) akan tercapai. Beliau menyebut bahawa “Umat manusia sangat memerlukan tamadun baru yang memberikan ia agama, tetapi dia tidak kehilangan ilmu pengetahuan, yang dapat memberikan keimanan tetapi tidak melenyapkan aqal, yang memberikan roh (jiwa) tetapi tidak menghalang material, yang memberikan akhirat tetapi tidak menghalang in dari dunia, yang memberikan kebenaran tetapi

202

tidak menghalang ia dari kekuatan, dan memberi akhlaq tetapi tetapi tidak merampas kebebasan.”

iv.

Bertasbih, Bersyukur dan Beristigfar

Nilai yang terakhir dari pandangan penulis adalah, apabila mencapai kemenangan, penemuan dan segala macam kejayaan yang lain, sebagai seorang pemuka teknologi maklumat Muslim, kita perlulah bertasbih, bersyukur dan beristigfar mengambil iktibar dari anjuran dari Allah apabila pertolongan Allah dan kemenangan sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. berjaya menguasai negeri Makkah dengan firman-Nya yang bermaksud; “Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (an-Nasr: 3)

Kesimpulan Kesepaduan ilmu adalah suatu agenda besar yang harus didokongi oleh semua lapisan masyarakat Islam seantaro dunia sebagai pra-syarat bagi mendidik para Umat Terbaik (Khaira Ummah) berpangkat khalifah Allah dimuka bumi ini. Melalui penerapan beberapa nilai yang dikemukakan tadi, mudah-mudahan akan lahir pemuka-pemuka teknologi maklumat Muslim yang menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan hak sebagai pewaris bumi ini sepertimana yang dikehendaki oleh Allah Taala dengan firman-Nya yang bermaksud; “bahawasanya bumi akan diwarisi oleh hamba-Ku yang baik-murni sifatnya” (al-Anbiya’: 105) akan menjadi kenyataan. Mudah-mudahan juga mereka akan diganjari dengan pelbagai nikmat dan kebaikan sebagaimana janji Allah “bagi mereka berbuat kebaikan di dunia akan diganjari Allah dengan kebaikan juga dan sesungguhnya bumi Allah ini teramat luas (dengan sumber dan ni’mat)”(al-Zumar:10). Itulah peribadi-peribadi baru Zulqarnain yang membangun negeri, menjunjung Din Ilahi sebagai manifestasi keperibadian tinggi dan Iman sejati. Wallahualam.

Rujukan Buku 1.

Holy Qur’an Version 6.31, as-Sakhr, 1991-1996

2.

Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, Tamadun Islam Alternatif Masa Depan, Maktabah alQardhawi Selangor, 1999

3.

Isma’il R. al-Faruqi dan Lois Lamya’ al-Faruqi, The Cultural Atlas of Islam,(Terj. Mohd Ridzuan Othman, Atlas Budaya Islam ,Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992

4.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islām and The Philosophy of Science, International Institute of Islamic Thought and Civilization, 1989

5.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam: Faham Agama dan Asas Akhlaq, Angkatan Belia Islam Malaysia, 1977 203

6.

Jenny Preece, Human-Computer Interaction, Addison-Wesley, 1994

7.

Tay Vaughan, Multimedia Making It Works, Osborne, 1998

8.

Fred T. Hofstetter, Multimedia Literacy, McGraw Hill, 2001

9.

Ralf Steinmetz & Klara Nahrstedt, Multimedia: Computing, Communications and Applications, Prentice Hall, 1995

10.

S. Waqar Ahmed Husaini, Teaching Islamic Science and Engineering: International Comparison, and Case Studies From King Abdul Aziz University, Islamic Foundation, 1985

11.

S. Waqar Ahmed Husaini, Islamic Science and Public Policies: Lessons From History of Science, University of Malaya Cooperative Bookshop, 1986

12.

Zainudin Jaffar, Spektrum Pemikiran Islam, Unit Perhubungan Awam Kolej Islam Darul Ehsan, 2000

13.

M. Quraish Shihab, Secercah Cahaya Ilahi Hidup Bersama Al-Quran, Penerbit Mizan, 2000

14.

Dr. Mohammad Abdus Samí, Planning Curricula for Natural Science: The Islamic Perspective”, Institute of Policy Studies Islamabad, 1983

Laman Web 1.

http://www.albany.edu/jmmh/vol1no1/teach-islamic.html, 29 Mei 2002, 9.15 pm

2.

http://quran.ali-slam.com/Targama/DispTargam.asp?, 29 Mei 2002, 9.15 pm

3.

http://www.quran.org.uk/, 29 Mei 2002, 9.15 pm

204