PENGALAMAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN SEJARAH BERASASKAN DIALOG ANTARA BUDAYA DI DALAM KELAS

e-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization e-ISSN: 2289-6759 Volume 3-2016 PENGALAMAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN SEJARAH BERASASKAN DIALOG A...
Author: Christina Horn
48 downloads 0 Views 473KB Size
e-Journal of Arabic Studies & Islamic Civilization

e-ISSN: 2289-6759

Volume 3-2016

PENGALAMAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN SEJARAH BERASASKAN DIALOG ANTARA BUDAYA DI DALAM KELAS Azarudin Bin Awang Akademi Kontemporari Pengajian Islam Universiti Teknologi Mara Terengganu [email protected] Azman Che Mat Universiti Teknologi Mara Terengganu. Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara Terengganu [email protected]

ABSTRAK Dialog antara budaya merupakan komunikasi yang terhasil dalam kalangan masyarakat yang berbeza latar belakang kehidupan. Kurangnya menghayati dan memahami perbezaan yang wujud dalam budaya kehidupan orang lain menyebabkan para pelajar gagal merasai kebersamaan dan empati diri terhadap perbezaan budaya yang wujud dalam sesebuah etnik/sub etnik yang lain. Perkongsian pengalaman pembelajaran CTU 555 (Sejarah Malaysia/Hubungan Etnik) melalui kaedah dialog secara langsung dengan pengamal budaya memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar dengan lebih efektif. Kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti keberkesanan pengajaran melalui kaedah dialog secara langsung antara pengamal budaya dan para pelajar. Selain daripada itu, kajian ini juga bertujuan melihat signifikan kaedah ini wajar digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Operasi kajian ini dilakukan dengan menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Hasil dapatan menunjukkan bahawa aplikasi kaedah berdialog dalam pembelajaran memberi kefahaman, merangsang sikap yang lebih positif terhadap kepentingan integrasi inter dan intra kaum. Respons yang diberikan oleh pelajar menunjukkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dengan kaedah berdialog adalah tinggi dengan min purata yang diperolehi melebihi 3.80 mata. Justeru, pengajaran sebegini boleh dijadikan satu model untuk membantu para pelajar memahami nilai etnik/sub etnik lain dengan lebih mendalam dan fokus. Kata Kunci: PdP, dialog, budaya, kelas ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------1. Pengenalan Integrasi antara dan sesama etnik merupakan aspek penting dalam membangunkan sesebuah negara. Di Malaysia, ternyata perpaduan erat antara pelbagai kaum, agama dan budaya telah membuahkan kemajuan sebagaimana yang dirasai pada hari ini. Sememangnya, pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan lanjutan legasi kepimpinan negara dan sekaligus akan mencorak pemikiran masyarakat akan datang. Seandainya berlaku konflik senyap dalam kalangan pelajar yang berbeza etnik, budaya dan agama, maka akan timbul persoalan bagaimanakah halnya yang akan berlaku dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia akan datang. Dengan demikian, aktiviti pendidikan sama ada di sekolah atau di IPT sewajarnya memberi fokus kepada usaha-usaha

http://worldconferences.net

Page 76

memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. Ini adalah kerana, dorongan untuk memahami dan bertoleransi di kalangan pelbagai kaum, agama dan budaya adalah teras muhibbah bagi masyarakat Malaysia. Kurangnya memahami dan merasai kebersamaan budaya masyarakat lain menyebabkan timbul pelbagai stigma yang negatif seperti prasangka, streotaip, etnosentik dan sebagainya. Pengalaman yang lepas memperlihatkan salah faham tersebut boleh menyebabkan konflik yang lebih buruk. Ekspresi rasa kecewa, resah, gusar yang dipaparkan di media yang kadangkala mengarahkan kepada celaan kepada komuniti yang lain memberi gambaran kepada pembaca tentang kerapuhan masyarakat multi etnik di Malaysia (Ahmat, 2014). Suraya (2014) menyenaraikan antara isu yang dikenalpasti ialah agama, kaum, tadbir urus kerajaan, keselamatan, sara hidup, alam sekitar dan isu sejagat. Lanjutannya insiden yang sering berlaku ialah keganasan, rusuhan, pergaduhan, serangan, perarakan, piket, protes, protes senyap, mogok lapar, mogok duduk, nyalaan lilin dan umum. Permasalahan ini bukan hanya melibatkan kelompok masyarakat yang tertentu malah turut melibatkan para pelajar di IPT.

2. Relevansi Pembelajaran Sejarah Malaysia (Hubungan Etnik) Dalam Konteks Semasa Matapelajaran Hubungan Etnik merupakan subjek teras yang mesti diambil oleh setiap pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia. Subjek ini membicarakan tentang Sejarah Malaysia menyentuh tentang sejarah, hubungan antara kaum, konsep hubungan etnik, integrasi kaum dan sebagainya. Matlamat pengajian subjek ini ialah memberi kesedaran kepada pelajar tentang peri pentingnya perpaduan kaum agar hasrat melahirkan suasana hidup aman dan harmoni berkekalan. Selain daripada itu, pengajian subjek ini diharapkan semangat saling menghormati dan memahami perbezaan yang ada pada orang lain dapat dirasai (Shamsul, 2011). Justeru, pemahaman dengan lebih mendalam mampu mengelakkan sebarang anasir yang negatif seperti hasad dengki, streotaip, prejudis dan sebagainya. Apa yang nyata ialah hubungan yang baik yang terjalin erat bukan sahaja menjadi asas kehidupan yang tenteram malah juga menjadi pra syarat untuk memakmurkan negara. Di Universiti Teknologi Mara (UiTM), seorang pensyarah perlu menghabiskan masa selama 14 minggu bagi 8 sub topik berdasarkan kepada silibus Matapelajaran CTU 555-Sejarah Malaysia (Hubungan Etnik) yang diberikan. Pelajar-pelajar yang mewakil terdiri daripada komuniti Bumiputera yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik seperti Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli dan sebagainya. Manakala dalam kelompok etnik Melayu, mereka terdiri daripada sub etnik seperti Jawa, Banjar, Bugis dan kumpulan etnik Melayu yang kuat berpegang kepada semangat kenegerian seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebagainya. Biarpun UiTM hanya menyediakan pengajaran kepada kelompok Bumiputera, namun setiap etnik dan sub etnik sebagaimana yang dinyatakan di atas mewarisi budaya dan norma hidup yang berbeza. Bagi Thay (2008), perbezaan sewajarnya bukan sahaja dilihat dari segi etnik malahan dari aspek ekonomi, kebudayaan dan agama. Ahmat (2014) menyatakan bahawa dalam sesebuah negara yang merangkumi pelbagai etnik, komuniti bukan asal akan lebih mudah mengetahui dan akhirnya menyesuaikan diri dalam lingkungan budaya setempat khususnya setelah memahami sejarah negara tersebut. Dalam kata lain, tanpa memahami budaya orang lain dengan jujur dan kebenaran, pastinya sesebuah negara gagal membangun. Untuk itu, pengertian budaya inter dan intra etnik perlu dilestarikan agar sejarah

http://worldconferences.net

Page 77

tentang konflik antara dan sesama suku, ras dan etnik tidak akan berulang lagi. Mengambil kira Malaysia merupakan sebuah negara yang pluralistik, adalah wajar setiap masyarakat mengambil peduli tentang sejarah agar nilai-nilai yang negatif seperti cemburu, tidak percaya, prejudis dapat disingkirkan. Abd Rahim (2000) berpandangan bahawa sejarah sewajarnya ditonjolkan sebagai suatu kuasa yang hidup dengan menghubungkan peristiwa masa yang lalu dan hakikat semasa. Justeru Zahara & Nik (2007) menyatakan corak pengajaran guru sejarah memberi pengaruh penting kepada kualiti pengajaran di dalam kelas. Bahkan ia memberi persepsi yang baru dan lebih bermakna kepada pelajar apabila ia tidak lagi menjadi subjek yang kaku dan membosankan. Menurut Zahara dan Nik Azalena (2007), hasil pembelajaran dalam matapelajaran Sejarah kurang memuaskan disebabkan kurangnya kritis dan analitis dalam penyampaian. Sebagai contoh, dalam konteks pembelajaran budaya orang lain, ada dalam kalangan pelajar yang hanya mendengar wujudnya budaya popular yang diamalkan dalam sesebuah etnik tetapi langsung tidak mengetahui bagaimana budaya tersebut diaplikasikan. Ini bermakna corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) adalah bersifat kaku, iaitu dengan hanya mendengar dan memahami fakta-fakta sejarah. Kebanyakan para pelajar mendapat informasi sepintas lalu tentang perbezaan budaya melalui syarahan dan buku-buku nota (Azmi Shah et al. 2007). Bagi Maharom (1998), proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ‘bermakna’ sahaja boleh merangsang pemikiran pelajar. Untuk itu, kaedah pengajaran berdialog dengan pengamal budaya diharapkan dapat memberi nilai tambah terhadap mata pelajaran Sejarah Malaysia. Persoalan yang timbul, adakah kaedah pengajaran berdialog secara langsung dengan pelaku budaya dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran yang dijalankan. Apakah persepsi pelajar terhadap kaedah pengajaran yang dijalankan. Justeru, kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui penggunaan kaedah dialog di dalam kelas dan melihat persepsi pelajar terhadap penggunaan kaedah sebegini. Terdapat beberapa kajian yang lepas yang membicarakan hubungan antara pelajar dalam perspektif yang berbeza misalnya agama, budaya dan etnik. Dalam kajian Mansor Mohd. Noor dan rakan-rakan (2001) mendapati tahap atau darjah etnik seseorang individu itu akan menentukan tingkahlakunya dipengaruhi oleh perkiraan etnik atau tidak. Individu yang tebal batas etniknya akan mengutamakan perkiraan etnik di dalam tingkahlakunya. Kajian yang dilakukan oleh Azmi dan Azrinah (2010) menunjukkan bahawa wujud kecenderungan yang tinggi dalam kalangan pelajar yang berbeza etnik, budaya dan agama untuk mengetahui perbezaan yang ada dalam kehidupan masyarakat lain. Beliau mencadangkan agar persepsi ‘perlu diubah’ dan melihat elemen perbezaan itu bukanlah satu unsur yang boleh mencetuskan sensitiviti. Kajian yang dilakukan oleh Mustafa dan Jaffary (2012) mendapati responden memperolehi maklumat awal tentang perbezaan yang ada dalam masyarakat lain melalui pembacaan dan ‘jawapan-jawapan’ yang diberikan oleh peserta dialog meningkatkan lagi tahap toleransi terhadap masyarakat lain. Selain itu Mustafa dan Jaffary (2012) mendapati majoriti daripada responden berpandangan memahami perbezaan yang ada pada masyarakat lain mampu membetulkan sikap (misalnya prasangka) terhadap perbezaan amalan kelompok tersebut. Kajian lain yang dilakukan oleh Azmi et al. (2007) mendapati penglibatan dialog dalam rakan yang berbeza agama dan budaya di IPTA adalah sederhana. Justeru, beliau menyarankan agar pihak pengurusan di universiti perlu menganjurkan program-program yang bersifat ‘dialog antara etnik’ bagi merangsang pemupukan hubungan antara dan sesama kaum. Kajian yang dilakukan Rusimah et al. (2004) juga mendapati tahap keselesaan dalam menjalin hubungan antara kaum di kalangan pelajar di dalam kampus berada dalam keadaan yang sederhana .Dicadangkan supaya program http://worldconferences.net

Page 78

program yang boleh menghangatkan suasana/iklim interaksi antara kaum dapat diperbanyakkan agar dapat membentuk suatu kehidupan yang harmoni di dalam kampus dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan di luar sana.

3. Konsep Dialog Dialog merupakan satu ‘aktiviti’ yang melibatkan soal jawab antara dua pihak dan berperanan menjelaskan realiti sebenar yang berlaku dalam sesebuah masyarakat (Azizan, 2008). Aktiviti dialog boleh dilakukan samada secara formal ataupun bersifat non-formal. Justeru, konsep sebenar dialog bukan hanya dibincangkan oleh ketua (agama atau masyarakat) tetapi dialog sewajarnya turut melibatkan semua anggota masyarakat (Swidler 2003). Matlamat dialog ialah memupuk kesedaran dan mengurangkan salah faham yang sewajarnya menjadi paksi hubungan antara kaum (Mitias & Jasmi 2004). Justeru, kesedaran dan kefahaman yang menyeluruh tentang budaya hidup orang lain akan membantu tercapainya cita-cita untuk menyatukan masyarakat multi etnik. Sesungguhnya, aktiviti dialog dengan melibatkan semua peringkat lapisan masyarakat menjadi kian perlu bagi mencapai hasrat pemupukan hubungan kaum, agama dan budaya. Pemupukan hubungan antara dan sesama etnik bukan sahaja berkenaan soal-soal perbezaan tetapi juga dari segi persamaan yang boleh dikongsi. Bertunjangkan kepada satu bentuk perkongsian kehidupan dalam masyarakat yang berbeza agama dan budaya, maka dialog memberi ruang dan peluang yang cukup luas kepada setiap manusia untuk mengenal, memahami dan menghayati nilai yang ada pada komuniti yang lain. dialog kehidupan berfungsi merapatkan ‘jurang inklusivisme’ dan’ ekslusivisme’ dalam masyarakat yang berbeza agama atau budaya pada peringkat akar umbi. Natijahnya, setiap manusia mampu menggamit nilai-nilai spiritual dan budaya masing-masing dalam suasana harmoni tanpa dibelenggu sebarang perasaan prejudis (Samwini 2010). Dialog mewujudkan satu ‘padang yang rata’ yang memberi peluang bagi setiap anggota masyarakat menampilkan nilai kehidupan masing-masing di samping membetulkan salah faham yang sebenar. Selain membuka ruang kerjasama yang lebih menyeluruh melalui perkongsian aktiviti masyarakat yang berbeza agama dan budaya seperti solat, sambutan perayaan, adat perkahwinan dan adat resam mampu. Lebih jauh lagi, ia mampu mengikis sikap prejudis, rasis, melampau dan mementingkan diri dalam kalangan peserta. Dalam kata yang mudah, maklumat dan pengetahuan tentang agama serta budaya yang berbeza dapat disalurkan dengan sekelip mata kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana. Contoh ini boleh diperlihatkan melalui aktiviti kolaborasi ‘Spiritual Camp 2009’ anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia dan Malaysia Young Movement (MYM) yang merupakan organisasi belia Cina dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Golongan belia Islam mendapat pendedahan tentang senaman Tai Chi yang merupakan ritual yang sering kali ditonjolkan dalam peribadatan agama Buddha. Manakala golongan belia Cina yang beragama Buddha didedahkan tentang pelaksanaan amalan solat secara individu dan berjemaah oleh belia-belia Muslim (Muhammad Nur 1997). Pengalaman yang berlaku dalam ini memaparkan pengalaman merentasi budaya dan agama yang mampu mengukuhkan perpaduan kaum boleh diketengahkan dalam dialog di dalam bilik kuliah. Bagi Syed Najmuddin et al. (2009) pelajar akan seronok apabila pembelajaran yang dilakukan memaparkan aktiviti yang sebenar. Tor (2004) menyatakan, kaedah yang bersifat koperatif ini memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain untuk meneroka lebih mendalam melalui pengamatan dan memberi pemahaman yang lebih berkesan. Pelajar-pelajar boleh berdialog secara http://worldconferences.net

Page 79

langsung dengan pengamal budaya tersebut. Selain menjimatkan, proses ini juga merupakan satu model (PdP) yang cukup berkesan. Kualiti pembelajaran kadang kala menyebabkan pelajar-pelajar merasa bosan dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Justeru kaedah pembelajaran wajar diperbaiki, dikemaskini agar ia memberi impak yang berkesan, menjimatkan masa, tenaga ditambah lagi adanya rasa seronok. 4. Metodologi Kajian Kajian ini menggunakan dua pendekatan, iaitu kuantitatif dan kualitatif. Dalam pendekatan kuantitatif, objektif utama kajian dicapai dengan menggunakan beberapa prosedur, iaitu menentukan populasi, persampelan, instrumen dan analisis. Oleh kerana kajian ini mirip kepada eksperimen, maka populasi yang terlibat dengan eksperimen ini sahajalah yang menjadi responden kajian. Jumlah mereka yang mengambil subjek ini ialah 97 orang semuanya yang merangkumi 5 kelas. Namun hanya satu kelas sahaja yang terlibat untuk memberi maklumbalas terhadap kajian eksperimen yang dilakukan. Oleh kerana bilangan satu kelas yang terlibat adalah sedikit, penyelidik menggunakan teknik sensus, iaitu semua populasi terlibat sebagai sampel kajian. Justeru, keseluruhannya pelajar terdiri daripada 22 orang di mana 4 orang merupakan panel dialog manakala bakinya 18 orang adalah peserta. Instrumen kajian adalah soal selidik yang dibangunkan sendiri oleh pihak penyelidik. Ia terbahagi kepada empat bahagian, iaitu latarbelakang, tahap pengetahuan sebelum dan selepas eksperimen dijalankan, sikap pelajar pada sebelum dan selepas; dan persepsi pelajar terhadap amalan dialog budaya di dalam kelas. Borang soal selidik ini hanya mengandungi satu halaman dengan skala likert 1-5 digunakan bagi melihat pengetahuan dan sikap pelajar terhadap topik yang dilaksanakan. Data tersebut dianalisis menggunakan statisitik seperti peratusan dan min melalui perisian SPSS 20. Manakala dalam pendekatan kualitatif pula teknik temubual tidak berstruktur ke atas 5 orang pelajar dan pemerhatian bahan dilakukan oleh pihak penyelidik bagi mengetahui lebih mendalam kesan pelaksanaan aktiviti tersebut di dalam kelas.

5. Hasil Kajian dan Perbincangan Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan pendekatan dialog antara budaya di dalam kelas melibat tiga pihak iaitu pensyarah berperanan sebagai fasilitator, panel dialog adalah terdiri daripada beberapa orang pelajar yang dipilih dalam kelas manakala peserta adalah terdiri daripada pelajar-pelajar lain. Setiap peserta dialog dalam kelas diberi masa 5-7 minit untuk mencerita satu budaya yang popular yang berlaku dalam etnik/sub etnik masing-masing. Pelajarpelajar lain akan bertanya tentang persoalan yang berkaitan tentang budaya yang dipersembahkan oleh peserta dialog. Manakala fasilitator bertindak mencadangkan budaya yang wajar dipersembahkan, mengawal masa dan mengawal keadaan agar persempahan yang dilakukan memberi kesan yang maksima. Kelainannya, pelajar-pelajar menimba perkongsian pengalaman secara langsung daripada pelaku budaya berbanding pada sebelum ini pelajar-pelajar hanya mendengar daripada pensyarah. Gambaran rangka kerja adalah sebagaimana berikut: Rajah 1 : Rangka Kerja PdP Dialog Antara Budaya

A

A

Panel Dialog

h t tAp : / / w o r l d c A onferences.net

Page 80

Pensyarah sebagai fasilitator

Responden

Sumber: Kajian lapangan Rajah 1: Rangka kerja

Empat orang pelajar dipilih dari sub etnik atau etnik yang berbeza untuk menceritakan satu budaya yang popular yang diaplikasikan dalam masyarakatnya. Hasil dapatan adalah sebagaimana berikut: 5.1 Tahap Pengetahuan & Pemahaman Jadual 1: Skala pemahaman pelajar terhadap pengajaran yang dijalankan Bil

Soalan

Pra

Pasca

1

Saya mengetahui latar belakang budaya yang diceritakan

2.60

4.65

2

Saya mengetahui keistimewaan budaya yang diceritakan

2.67

4.33

3

Saya mengetahui amalan utama budaya etnik tersebut

2.33

4.20

4

Saya mengetahui proses perjalanan amalan tersebut dilakukan

2.60

4.00

Purata

2.55

4.30

Sumber: Soal selidik 2015 Berdasarkan kepada borang soal selidik yang diberikan, persepsi terhadap skala pengetahuan pelajar pada item ‘latar belakang budaya’ yang dipersembahkan oleh rakan pelajar berada pada tahap sederhana kepada tinggi. Skala min sebelum pelaksanaan aktiviti dialog dilakukan di dalam kelas ialah 2.60 (sederhana) manakala selepas aktiviti dilaksanakan ia berada pada tahap yang tinggi apabila min yang diperolehi 4.65 (tinggi). Begitu juga pengetahuan responden terhadap keistimewaan budaya yang diceritakan. Hasil dapatan menunjukkan skala min pada sebelum aktiviti adalah sederhana iaitu 2.67 manakala skala selepas aktiviti dilaksanakan berada pada skala yang tinggi apabila min yang diperolehi 4.33. Bagi item pengetahuan terhadap ‘amalan utama’ budaya tersebut, skor min sebelum aktiviti yang diperolehi ialah 2.33 (sederhana) manakala skala yang diperolehi pada selepas aktiviti ialah 4.20 (tinggi). Yang lain, hasil dapatan menunjukkan skala min yang diperolehi terhadap ‘mengetahui proses perjalanan amalan tersebut’, min yang diperolehi pada sebelum ialah 2.60 mata dan 4.00 pada selepas aktiviti dijalankan. Keseluruhannya, purata 4 item http://worldconferences.net

Page 81

yang diberikan menunjukkan tahap responden terhadap budaya yang dibincangkan di dalam kelas pada sebelum aktiviti adalah sederhana dengan min 2.55 mata manakala setelah aktiviti dialog dijalankan, min yang diperolehi 4.30 mata. Berdasarkan kepada temubual yang dilakukan kepada pelajar yang terlibat, jawapan yang diberikan adalah sebagaimana berikut:Responden Sejauhmana pelajar mengetahui/memahami budaya orang lain

1

Sebelum ini, saya mendengar budaya masyarakat lain melalui media tidak begitu mendalam.

2

Saya pernah melihat persembahan dikir barat, tetapi saya tidak tahu banyak sangat maklumat tentang budaya ini.

3

Bila program ini dibuat, banyak maklumat tentang sejarah dan budaya sesebuah masyarakat saya tahu. Saya tahu amalan budaya tersebut melalui pembacaan, bila pelajar (pengamal budaya) menceritakan budaya masing-masing, rupanya saya dapat tahu lebih banyak perkara tentang budaya tersebut

4

Saya fikir sambutan hari Gawai hanya untuk orang Iban tetapi masyarakat Bumiputera lain juga ada yang menyambut perayaan ini. Saya dengar macam-macam budaya di Malaysia melalui TV dan buku-buku.

5

Tidak kesemua budaya-budaya yang diceritakan oleh rakan, saya mengetahuinya. Ada yang hanya saya mendengarnya, apabila program ini dijadikan dalam bentuk yang lebih formal dan akademik, ia banyak memberi maklumat yang baru.

Berdasarkan data-data temubual yang diperolehi, ternyata pelajar memperolehi pengetahuan tentang sesuatu budaya itu melalui mekanisme pembacaan buku-buku yang berkaitan, menonton telivisyen atau mendengarnya dari saluran media elektronik. Justeru, program pengalaman perkongsian mendengar budaya orang lain di dalam kelas banyak memberi maklumat baru tentang sesuatu budaya tersebut. 5.2. Sikap Sebelum & Selepas Aktiviti Jadual 2: Sikap pelajar terhadap perbezaan budaya komuniti lain pada sebelum dan selepas aktiviti dijalankan Bil

Soalan

Pra

http://worldconferences.net

Pasca

Page 82

1

Saya menghormati perbezaan budaya

3.67

4.80

2

Saya menghormati keistimewaan yang ada pada etnik/sub etnik lain

3.73

4.73

3

Saya menghargai perbezaan budaya orang lain

3.87

4.80

4

Saya menghormati perjalanan amalan budaya orang lain

4.07

4.67

Purata

3.84

4.75

Sumber: Soal selidik 2015 Selanjutnya, responden ditanya tentang sikap terhadap perbezaan budaya komuniti lain. Dalam perihal ini, hasil dapatan menunjukkan pada item ‘menghormati perbezaan budaya’, min sebelum aktiviti dialog dilakukan ialah 3.67 (sederhana) manakala darjah yang diperolehi setelah aktiviti ini dijalankan ialah 4.80 (tinngi). Begitu juga bagi item ‘menghormati keistimewaan yang ada pada etnik/sub etnik yang lain’, perolehan min sebelum aktiviti 3.73 mata menunjukkan ia berada pada tahap yang sederhana manakala min yang diperolehi 4.73 selepas aktiviti menunjukkan ia berada pada tahap. Bagi item ‘saya menghargai budaya orang lain’, perolehan min sebelum dan selepas aktiviti adalah tinggi. Biarpun begitu, skala mata min yang diperolehi adalah berbeza iaitu 3.87 pada dan 4.80 pada selepas. Darjah dapatan yang sama diperolehi bagi item ‘menghormati perjalanan amalan budaya orang lain’ menunjukkan skala yang tinggi diperolehi pada sebelum dan selepas aktiviti dialog dijalankan. Pun begitu, mata yang diperolehi adalah 4.07 dan 4.67. Ternyata, ujian terhadap sikap pelajar pada sebelum aktiviti dijalankan berada pada tahap yang tinggi iaitu purata min yang diperolehi ialah 3.84 mata manakala selepas ujian dijalankan purata min semakin meningkat kepada 4.75 mata.

Hasil dapatan daripada temubual pula dijelaskan sebagaimana berikut: Responden Sikap pelajar apabila mengetahui/memahami budaya orang lain

1

Aktiviti begini dapat membantu saya memahami budaya hidup orang lain dengan lebih baik. Walaupun sebelum ini saya sudah bersikap baik terhadap masyarakat lain tetapi apabila saya memahami budaya mereka lebih mendalam, saya merasakan setiap bangsa akan mempertahankan budaya mereka. Kita perlu hormatlah budaya perbezaan yang ada.

2

Bila para pelajar mempersembahkan aktiviti ini, saya boleh bertanya nilai-nilai budaya yang diamalkan oleh masyarakat tersebut. Saya rasa, aktiviti sebegini dapat membuka mata para pelajar bahawa setiap bangsa atau etnik mempunyai keistimewaan nilai kehidupan yang tersendiri. http://worldconferences.net

Page 83

3

Saya rasa, bila kita berkongsi pengalaman sebegini, kita dapat mewujudkan perasaan hormat budaya orang lain. Dalam masyarakat Melayu pun ada bermacam-macam budaya. Oleh kerana Malaysia merupakan negara yang ada macam-macam kaum, bila kita faham budaya kaum lain maka mereka akan hormat kita.

4

Bila ada program macam ni, saya boleh tanya dia. Sebelum ini dalam kelas pensyarah cerita sepintas lalu.

5

Kita memahami budaya orang lain bukan hanya pada musim perayaan sahaja, program dalam kelas macam ini misalnya dapat memupuk hubungan antara masyarakat. Bila kita memahami budaya orang, sikap kita kepada mereka lebih baik…

Pelaksanaan dialog budaya di dalam kelas mendorong para pelajar untuk lebih menghargai dan menghormati perbezaan yang ada dalam komuniti lain. Malahan para pelajar berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pengamal budaya tersebut bagi menghilangkan sebarang bentuk kekeliruan yang ada dalam fikiran.

5.3 Persepsi Pelajar Terhadap PdP Dialog Budaya Jadual 3: Persepsi pelajar terhadap kaedah pengajaran yang dijalankan Bil

Soalan

Min

1

Aktiviti ini tidak membosankan

4.60

2

Aktiviti ini menjelaskan lagi informasi saya tentang subjek CTU 555

4.40

3

Aktiviti menambahkan lagi kesedaran tentang hubungan kaum

4.67

4

Saya dapat bertanya secara langsung tentang perbezaan budaya orang lain

4.60

5

Saya merasakan aktiviti ini wajar dilakukan untuk semester yang berikutnya

4.60

6

Saya merasakan program ini perlu dikemaskinikan

4.13

http://worldconferences.net

Page 84

Purata

4.50 Sumber: Soal selidik 2015

Bagi melihat persepsi pelajar terhadap kaedah pengajaran yang telah dilaksanakan, 6 item soalan telah ditanya kepada pelajar. Majoriti responden berpandangan pelaksanaan aktiviti di dalam dialog tidak membosankan dengan skala min yang diperolehi ialah 4.60. Malah, responden beranggapan aktiviti sebegini menjelaskan lagi subjek pengajaran yang dijalankan dengan skala yang diperolehi adalah tinggi iaitu 4.40. Begitu juga, responden berpandandan bahawa aktiviti dialog di dalam kelas dapat menambahkan lagi kesedaran pelajar tentang perbezaan budaya orang lain. Skala min 4.60 yang diperolehi menunjukkan ia berada pada tahap yang tinggi. Justeru, responden mencadangkan aktiviti-aktivi sedemikian wajar dilaksanakan pada semester yang datang. Skala min 4.60 menunjukkan darjah persetujuan berada pada tahap yang tinggi. Biarpun begitu, responden merasakan program dialog dalam kelas ini perlu dikemaskinikan dengan skala min 4.13 menunjukkan ia berada pada tahap yang tinggi. Skor purata min yang diperolehi 4.50 terhadap 6 soalan yang dikemukakan menunjukkan pelaksanaan dialog budaya sangat signifikan terhadap keberkesanan pengajaran CTU 555 khususnya dalam sub topik yang berkait tentang ‘Dari Segregasi ke Integrasi’. Bagi melihat keberkesanan penggunaan dialog antara budaya dalam PdP mata pelajaran CTU 555, trankrip temubual telah dilakukan kepada 5 orang orang pelajar menjelaskan sebagaimana berikut:

Responden Apakah persepsi pelajar terhadap kaedah pengajaran

1

Saya merasakan aktiviti ini wajar diteruskan untuk masa-masa yang berikutnya

2

Selain itu, saya rasa aktiviti ini lebih menarik sekiranya setiap panel memakai pakaian tradisi masing-masing.

3

Saya rasa program ini perlu dilakukan setiap semester bagi CTU 555.

4

Program macam mana ini, memberi keseronokan seolah kita berada bersama mereka, tidak boring dan tidak mengantuk. Saya rasa program ini wajar diteruskan untuk masa-masa akan datang.

http://worldconferences.net

Page 85

5

Perlu dilakukan dalam kelas CTU 555 dan dalam masa yang sama perlu dilakukan penambahbaikan

Hampir kesemua pelajar memberi respon yang positif iaitu aktiviti ini wajar dilakukan pada semester yang akan datang memandangkan program ini tidak membosankan. Biarpun begitu dalam kalangan pelajar mencadangkan agar panel dialog wajar mengenakan pakaian tradisi etnik/sub etnik masing. Tujuannya ialah aktiviti ini tampak lebih menarik dan menampak program yang bersifat mengenal budaya.

6. Kesimpulan Pengalaman pengajaran dan pembelajaran berdialog di dalam kelas mampu mempertingkatkan keberkesanan di dalam kelas. Selain bersifat mesra insan, kaedah ini juga dapat menarik minat pelajar dengan aktiviti-aktiviti yang bersifat santai, menyeronok dan berinformasi. Dengan demikian, penambahbaikan terhadap pengajaran dan pembelajaran matapelajaran CTU 555 ini memudahkan pelajar memahami budaya komuniti-komuniti lain melalui dialog secara langsung dengan pelakupelaku yang pernah mengamal budaya tersebut.

http://worldconferences.net

Page 86

Rujukan Ahmat Adam. (2014). Pendidikan Sejarah di Malaysia Dewasa ini: Sejauh Manakah ia Relevan kepada Pembinaan Nasion? SUSURGALUR: Jurnal Kajian Sejarah & Pendidikan Sejarah, 2(1) Mac 2014, 101114. Azmi Shah Suratman dan Azrinah Abdul Rahah. (2010). Persepsi Pelajar Terhadap Dialog Antara Agama: Kajian Dalam Kalangan Pelajar Tahun 4, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (Utm), Skudai, Johor. Persepsi Pelajar Terhadap Dialog Antara Agama: Kajian Dalam Kalangan Pelajar Tahun 4, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor . pp. 1-10. (Unpublished) Azmi Shah Suratman. Mohd Nasir Ripin, Ramli Awang, Sayed Mahussain Sayed Ahmad, Zulkifli Nordin. (2007). Tahap Dialog Peradaban: Kajian Di Kalangan Pelajar Tahun Tiga Universiti Teknologi Mara. Pusat Pengajian Islam & Pembangunan Sosial, UTM. Maharom Mahmod. (1998). Analisis Kemahiran Pemikiran Sejarah Dalam Kurikulum Peringkat Sekolah Menengah Rendah. Tesis Sarjana UKM. Mansor Mohd Noor et al. (2001). Kajian Arah dan Tahap Pencapaian Perpaduan Negara Di Insititusi Pengajian Tinggi, Malaysia. Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia.(tidak diterbitkan) Mustafa Kamal Amat Misra & Jaffary Awang. (2012). Persepsi Wanita Buddha dan Wanita Muslim terhadap Dialog Agama: Kajian di Kuala Lumpur. Jurnal al-Hikmah 4 : 131-147 Rusimah Sayuti, Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah, Salma Ishak. (2004). Kajian Hubungan Kaum Di Kalangan Pelajar Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia Shamsul Amri Baharuddin. (2011). Hubungan Etnik. Shah Alam: UPENA UiTM.

Suraya Wen. (2014). Kajian Mengenalpasti Isu Dan Punca Konflik Yang Mempengaruhi Tahap Keharmonian Masyarakat Di Malaysia Bagi Tahun 2011 Dan 2012. (Tesis Sarjana UUM) Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab.Halim Tamuri, Isahak Othaman & Mohd Sabri Mamat. (2008). Guru Bahasa Arab Terlatih di Sekolah: Satu Keperluan di Malaysia. Prosiding Wacana Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan Siri ke-6: Pendidikan Islam Teras Pembangunan Modal Insan. 555-569. Swidler, L. (2003). Dialogue in Malaysia and The Global Scenario. Siri Monograf Pusat Dialog Peradaban. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Thay Cheow Yin. (2008). Tahap Hubungan Etnik: Kajian Di Kalangan Pelajar Yang Mengikuti Kursus Sarjana Muda Teknologi Serta Pendidikan (Kemahiran Hidup), Sesi Pengajian 2007-2008, Semester 2 Di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Tesis Sarjana Musa UTM. Tor Geok Hwa. (2004) . Masalah Pembelajaran Sejarah: Satu Kajian Tindakan. Tesis Sarjana Muda Fakulti Sains Kognitif Dan Pendidikan Universiti Utara Malaysia

http://worldconferences.net

Page 87

Zahara Aziz dan Nik Azleena Nik Ismail. (2007). Kajian Tinjauan Kesediaan Guru-guru Sejarah Menerapkan Kemahiran Pemikiran Sejarah kepada Para Pelajar. Jurnal Pendidikan 32. 119-137. Temubual dengan pelajar 1 – 6 dilakukan pada 14 Disember 2015 di dalam kelas 12 B 3, UiTM Terengganu.

http://worldconferences.net

Page 88

Suggest Documents