Aktiviti Komunikatif Dalam Pengajaran Bahasa Arab Di Sekolah Menengah : Satu Rangka Kajian Kes

Aktiviti Komunikatif Dalam Pengajaran Bahasa Arab Di Sekolah Menengah : Satu Rangka Kajian Kes Muhammad Azhar Bin Zailaini Prof. Madya Dr. Hassan Basr...
0 downloads 2 Views 86KB Size
Aktiviti Komunikatif Dalam Pengajaran Bahasa Arab Di Sekolah Menengah : Satu Rangka Kajian Kes Muhammad Azhar Bin Zailaini Prof. Madya Dr. Hassan Basri B. Awang Mat Dahan

Abstrak Kajian ini akan melihat aktiviti komunikatif yang dijalankan oleh guru dalam kelas Bahasa Arab Komunikasi di sekolah menengah. Secara khusus kajian ini akan menjawab dua soalan kajian iaitu apakah aktiviti komunikatif yang dikendalikan oleh guru dan bagaimanakah mereka mengendalikannya di dalam kelas. Pendekatan yang diambil untuk kajian ini adalah kajian kes secara kualitatif dengan melihat pengajaran tiga orang guru Bahasa Arab Komunikasi di tiga buah sekolah yang berasingan. Ketiga-tiga peserta kajian ini akan diperhatikan pengajaran mereka dengan berbantukan kamera video. Berikutnya pengkaji akan menemubual peserta berasaskan data-data yang diperolehi dari pemerhatian. Analisis dokumen juga akan dilakukan terhadap apa jua bahan yang digunakan dalam pengajaran tersebut. Teknik tringulasi akan digunakan dalam menganalisis data dari ketiga-tiga sumber berasaskan satu kategori kodifikasi yang diambil dari tinjauan literatur dan soalan-soalan kajian.

Pendahuluan Bahasa Arab Komunikasi (BAK) sebagai mata pelajaran di sekolah menengah mula dilaksanakan pada tahun 1992. Kurikulum BAK dengan jelas menghendakkan pengajaran bahasa Arab menggunakan pendekatan komunikatif. (Kementerian Pendidikan, 2001) Guru-guru perlu memainkan peranan yang penting dalam menjayakan hasrat kurikulum BAK. Kerana merekalah yang akan memastikan pendekatan komunikatif terutamanya aktiviti komunikatif dapat dijalankan. Pengajaran yang dijalankan mengikut prinsip-prinsip pendekatan komunikatif yang baik akan melahirkan pelajar yang dapat menguasai bahasa Arab dari segi sistem bahasa dan juga kemahiran berbahasa. Tetapi menurut Ab. Rahim (1999) pendekatan ini masih lagi diragui dan tidak difahami oleh sebilangan besar para guru bahasa Arab di Malaysia. Mereka kurang berupaya menerima dan melaksanakan kurikulum baru bahasa Arab iaitu Bahasa Arab Komunikasi dan masih bertahan dengan pendekatan tradisional. Ternyata dari pernyataan di atas bahawa pengajaran bahasa Arab secara pendekatan komunikatif di Malaysia perlu menggarap dua persoalan pokok bagi memastikan keberkesanan dan kejayaannya. Dua persoalan itu ialah pertama, adakah pengajaran BAK telah menepati kehendak prinsip-prinsip pendekatan komunikatif terutamanya aktiviti komunikatif ?. Keduanya, adakah pengajaran BAK perlukan pengukuhan atau pengubahsuaian tertentu terhadap asas dan prinsipprinsip tersebut ?

Objektif kajian ini adalah untuk melihat amalan guru BAK dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti komunikatif dalam pengajaran mereka. Kajian ini akan menggambarkan dan menjelaskan proses yang berlaku dalam bilik darjah berkaitan aktiviti-aktiviti komunikatif dalam pengajaran BAK. Berdasarkan objektif yang dinyatakan, maka kajian ini akan cuba menjawab soalan-soalan kajian berikut : 1. Apakah aktiviti-aktiviti komunikatif yang dijalankan oleh guru dalam pengajaran BAK ? 2. Bagaimanakah guru melaksanakan aktiviti-aktiviti komunikatif dalam pengajaran BAK? Aktiviti Komunikatif Pendekatan komunikatif adalah pendekatan yang melihat bahawa bahasa perlu dipelajari melalui komunikasi. Oleh itu guru akan mewujudkan situasi sebenar kehidupan di dalam bilik darjah dan meminta pelajar melakukan main peranan, simulasi, interaksi sebenar dan lain-lain aktiviti komunikatif. Dengan itu pelajar akan dapat mempelajari bahasa yang sesuai di dalam pelbagai bentuk situasi. Melalui aktiviti komunikatif juga pelajar akan dapat menggunakan bahasa untuk melakukan pelbagai tugas komunikasi dan dapat menggunakan bahasa tersebut untuk interaksi sosial dengan orang lain. Aktiviti komunikatif adalah fokus utama dalam kajian ini kerana aspek yang akan dilihat dalam pengajaran guru BAK apakah aktiviti-aktiviti komunikatif yang dijalankan, bagaimana mereka menjalankannya dan kenapa mereka menjalankan seperti tersebut. Oleh itu, penulisan tentang aktiviti komunikatif ini akan meninjau dari segi tujuan, kriteria dan jenis-jenis. Tujuan aktiviti komunikatif dalam pengajaran bahasa yang berasaskan pendekatan komunikatif menurut Littlewood (1981) adalah untuk : 1. Menyediakan amalan-amalan keseluruhan tugas (whole-task practice). 2. Meningkatkan motivasi dalam pembelajaran. 3. Membolehkan wujudnya pembelajaran semulajadi (natural learning). 4. Mewujudkan konteks atau situasi yang dapat menyokong pembelajaran. Terdapat pelbagai jenis aktiviti komunikasi. Littlewood (1981) membahagikannya kepada dua jenis iaitu pertama aktiviti-aktiviti prakomunikatif dan kedua aktiviti-aktiviti komunikatif yang dijalankan secara berperingkat sebagaimana yang dijelaskan dalam rajah 1. Pada peringkat aktiviti prakomunikatif para pelajar dilatih dengan separuh kemahiran komunikasi. Latihan dibuat secara berulangan dengan berbagai cara. Ia juga melibatkan soal jawab yang membolehkan pelajar berpeluang berlatih kemahiran komunikasi, melancarkan sebutan dalam sistem bahasa. Ini akan dapat membantu pelajar mempunyai kemahiran bahasa untuk peringkat seterusnya iaitu aktiviti komunikatif. (Littlewood,1981) Latihan penggunaan bahasa asing yang dipelajari adalah merupakan asas penting. Latihan seperti ini adalah tertumpu kepada dua perkara: pertama, bentuk linguistik. Dan kedua, makna yang perlu disampaikan. Pendekatan ini tidak menghalang pembelajaran bahasa asing sekiranya pelajar kurang mahir dalam penguasaan bentuk linguistik, sebaliknya pelajar digalakkan menggunakan segala perbendaharaan kata yang sedia ada bagi memindahkan makna dalam penggunaan bahasa asing pada sesuatu komunikasi sosial. (Littlewood,1981)

Peringkat Pertama

Aktiviti Prakomunikatif

Aktiviti Separa Komunikatif

Aktiviti Struktural

Peringkat Kedua Aktiviti Komunikatif

Aktiviti Komunikasi Fungsian

Aktiviti Interaksi Sosial

Rajah 1 : Aktiviti Komunikatif Model Littlewood

Littlewood (1981) menambah bahawa latihan-latihan dalam pendekatan komunikatif perlu mempunyai tujuan-tujuan berikut : 1. Meluaskan konteks komunikasi pelajar agar mereka dapat memberikan tumpuan kepada makna, tanpa memikirkan bentuk-bentuk linguistik yang perlu digunakan. 2. Aktiviti latihan pada peringkat prakomunikatif adalah untuk membantu pelajar meningkatkan kecekapan bahasa yang akan digunakan. 3. Meningkatkan kebolehan pelajar memilih bentuk bahasa yang paling sesuai dengan konteks penggunaannya. Aktiviti komunikatif pula adalah aktiviti yang menggunakan kemahiran komunikasi sepenuhnya ketika melakukan sesuatu interaksi. Semasa aktiviti ini pelajar yang telah didedahkan kepada latihan prakomunikatif perlu menggunakan kemahiran dan pengetahuan tersebut untuk berinteraksi. Pelajar akan menjalankan aktiviti komunikasi yang lengkap. Terdapat dua jenis aktiviti komunikasi yang boleh digunakan iaitu aktiviti komunikasi fungsian dan aktiviti hubungan sosial. (Littlewood,1981) Aktiviti Fungsian Komunikatif adalah aktiviti komunikasi yang berdasarkan tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan oleh pelajar bagi memenuhi jurang maklumat. Aktiviti ini boleh dibahagikan kepada beberapa aktiviti berikut: (Littlewood,1981) 1. Berkongsi maklumat dengan kerjasama yang terkawal. Pelajar perlu berkomunikasi untuk berkongsi maklumat bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau melaksanakan sesuatu tugas. Seperti mengenalpasti maklumat yang hilang dalam gambar yang sama tetapi tidak serupa, mencari pasangan yang sama dari gambar-gambar yang diberikan, mengenalpasti wajah-wajah tokoh daripada gambar yang tidak lengkap dan lain-lain lagi. Untuk melaksanakan aktiviti ini

pelajar mesti berkongsi maklumat terhad yang ada pada mereka bagi menjayakan tugas yang diberi. 2. Berkongsi maklumat dengan kerjasama yang tidak terkawal. Pelajar perlu melibatkan diri dalam kerjasama sepenuhnya di kalangan kumpulan pelajar bagi menyelesaikan masalah atau tugas. Pelajar perlu berkomunikasi untuk menyusun corak atau gambar, membentuk logo, mengikut arahan dalam peta atau lain-lain lagi. 3. Berkongsi memproses maklumat. Pelajar perlu membincang dan menilai maklumat bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau tugas. Contohnya menulis cerita mengikut urutan, dan mengumpulkan maklumat untuk menyelesaikan masalah tentang jadual perjalanan yang paling cepat dan lain-lain lagi. 4. Aktiviti memproses maklumat. Pelajar perlu mempunyai pengetahuan tentang semua fakta. Rangsangan untuk berkomunikasi ialah kerana mereka perlu berbincang dan menilai fakta yang dikumpulkan untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Contohnya aktiviti penyelesaian masalah membawa barang-barang berat yang akan dibawa oleh kenderaan muatan terhad. Aktiviti interaksi sosial pula ialah aktiviti penggunaan bahasa dalam situasi yang hampir menyerupai penggunaan bahasa sebenar. Oleh itu guru perlu memindahkan situasi penggunaan bahasa sebenar seharian itu ke dalam bilik darjah. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk tujuan tersebut ialah : (Littlewood,1981) 1. Guru menjadikan bilik darjah sebagai persekitaran sosial. Guru perlu mewujudkan situasi penggunaan bahasa dalam bilik darjah. Segala perbualan dalam bahasa perlu dilaksanakan melalui aktiviti menggunakan dialog dalam bahasa tersebut 2. Menyediakan aktiviti simulasi dan main peranan bagi membolehkan pelajar menggunakan bahasa yang dipelajari. 3. Mengadakan rakaman dan dialog. 4. Menyediakan aktiviti permainan bahasa. 5. Menjalankan aktiviti perbincangan dan perbahasan tentang isu-isu semasa. Dari segi kriteria aktiviti komunikatif, Harmer (2001) telah menggariskan beberapa kriteria sebagaimana berikut : 1. Tujuan komunikasi. Aktiviti hendaklah melibatkan pelajar melakukan komunikasi sebenar dan bukan hanya untuk mempraktikkan bahasa sahaja. Oleh itu perlu ada jurang maklumat atau idea antara peserta komunikasi. 2. Hasrat komunikasi. Aktiviti hendaklah menimbulkan hasrat untuk berkomunikasi. Pelajar merasakan mereka benar-benar perlu untuk bercakap dan berkomunikasi. 3. Kandungan dan bukan struktur. Dalam melaksanakan aktiviti, pelajar perlu menumpukan perhatian kepada apa yang mereka perkatakan dan bukan kepada bagaimana mereka memperkatakan. Oleh itu mereka perlu menumpukan kepada mesej yang hendak disampaikan bukan kepada struktur-struktur bahasa yang digunakan untuk menyampai mesej tersebut.

4. Kepelbagaian struktur bahasa. Aktiviti hendaklah membolehkan pelajar dapat menggunakan pelbagai bentuk atau struktur bahasa. Pelajar akan merasa bebas untuk menggunakan apa jua bentuk atau struktur bahasa yang menjadi pilihannya. 5. Tiada campur tangan guru. Aktiviti yang membolehkan pelajar melaksanakannya sesama mereka. Pembetulan atau penilaian guru adalah terhadap hasil aktiviti yang telah dijalankan. Penilaian juga hendaklah berasaskan pencapaian pelajar dalam komunikasi dan bukan terhadap penggunaan bahasa sama ada betul atau salah. 6. Tiada pengawalan bahan. Aktiviti tidak akan mengawal bahasa yang akan digunakan oleh pelajar. Tetapi pelajar sendiri yang akan memilih bahasa yang akan mereka gunakan. Johnson (1982) pula telah menggariskan beberapa kriteria atau prinsip aktiviti komunikatif iaitu : 1. Prinsip pemindahan maklumat. Aktiviti yang melibatkan pemahaman terhadap maklumat yang diterima dan kemudian memindahkan maklumat tersebut dalam bentuk yang berlainan. Seperti memindahkan maklumat dalam bentuk graf kepada laporan bertulis. 2. Prinsip jurang maklumat. Prinsip ini ada persamaan dengan kriteria Harmer (2001) iaitu tujuan berkomunikasi. Sebagai contoh, komunikasi akan wujud apabila seorang A tidak mengetahui apa yang diketahui oleh seorang B. Untuk tujuan mendapatkan maklumat, A akan bertanya kepada B bagi mengurangkan jurang maklumat antara keduanya. 3. Prinsip cantuman benda berpisah (jigsaw). Aktiviti yang dapat mengumpulkan maklumat yang terpisah untuk menyempurnakan sesuatu tugas. 4. Prinsip kebergantungan tugas. Sesuatu tugas hanya akan dapat dijalankan dengan menyelesaikan tugas lain yang terdahulu. 5. Prinsip pembetulan kandungan. Pada peringkat tertentu penilaian guru adalah kepada hasil bahasa pelajar semasa berkomunikasi dalam menjalankan tugas tertentu. Tetapi pada peringkat tertentu, guru boleh membetulkan ketepatan tatabahasa pelajar. Kajian ini akan menggunakan kriteria dan prinsip yang dinyatakan oleh Harmer (2001) dan Johnson (1982) tersebut. Oleh itu terdapat sepuluh kriteria yang dapat dinyatakan melalui rajah 2 berikut :

Hasrat komunikasi

Kandungan dan bukan struktur

jurang maklumat

Kepelbagaian struktur bahasa

KRITERIA AKTIVITI KOMUNIKATIF

pemindahan maklumat

Tiada pengawalan bahan

jigsaw kebergantungan tugas

Tiada campur tangan guru

pembetulan kandungan

Rajah 2 : Kriteria Aktiviti Komunikatif

Reka Bentuk Kajian Kajian ini merupakan kajian kes secara kualitatif yang menggunakan tiga teknik pengutipan data, iaitu bukti dokumen, pemerhatian dan temu bual. Ketiga-tiga teknik ini dibentuk berasaskan pendekatan teori-teori yang berkaitan dengan isu dan masalah dalam kajian ini dengan mengikut objektif dan soalan-soalan kajian. Kajian ini adalah berkaitan dengan amalan pendekatan komunikatif dan secara khususnya aktiviti komunikatif dalam pengajaran guru Bahasa Arab Komunikasi iaitu ’proses’ yang berlaku dalam bilik darjah. Perkataan ‘amalan’ adalah merujuk kepada aktiviti dan perlakuan yang berlaku secara berterusan dan berurutan dalam bilik darjah. Ia sudah tentu melalui beberapa prosedur dan langkah yang tertentu dan memerlukan kepada konteks yang sebenar, spesifik dan memerlukan tinjauan yang mendalam untuk menghasilkan penghuraian secara deskriptif yang lengkap bagi menggambarkan amalan tersebut. Dalam konteks ini, penyelidik akan berperanan sebagai instrumen utama yang perlu hadir sendiri di tempat kajian bagi meneliti dan mengutip data yang diperlukan. Penyelidik akan melihat sendiri ‘proses’ bagaimana guru-guru BAK melaksanakan pendekatan komunikatif dan secara khususnya aktiviti komunikatif dalam pengajaran mereka. Sebagai asas utama dalam pengutipan dan analisis data, penyelidik akan menggunakan pembahagian aktiviti-aktiviti komunikatif Littlewood (1981) disamping kriteria aktiviti komunikatif Johnson (1982) dan Harmer (2001). Pendekatan secara kualitatif adalah dianggap sesuai kerana tabiat kajian ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Merriam (1990) dan Bogdan & Biklen (1998) memerlukan suasana yang berbentuk realistik, semulajadi, mengharapkan perspektif ‘emic’, bersifat holistik, memerlukan penghuraian secara deskriptif dan juga ‘grounded theory’. Prosedur Pengutipan Data Untuk kajian ini, penyelidik menggunakan beberapa teknik pengutipan data utama di dalam sebuah kajian kes secara kualitatif. Ia bertujuan untuk memperoleh seberapa banyak data berbentuk deskriptif bagi mendapatkan gambaran holistik dan naturalistik tentang bagaimana aktiviti komunikatif yang dijalankan oleh guru semasa melaksanakan proses pengajaran BAK di dalam bilik darjah. Untuk tujuan tersebut, tiga teknik pengutipan data utama yang biasa digunakan dalam kajian kes secara kualitatif, iaitu; (a) bukti dokumen, (b) pemerhatian, dan (c) temubual (Van Maanen, 1982; Merriam, 1990; Bogdan & Biklen, 1992; Wiersma, 2000; ) akan digunakan pada sepanjang tempoh kajian dilaksanakan. Patton (1987) menyatakan ketiga-tiga kaedah pengutipan data ini amat sesuai digunakan kerana setiap satu daripadanya akan dapat mengukuhkan data-data yang akan diperoleh antara satu sama lain. Wiersma (2000) menamakan kaedah pengukuhan antara data-data ini sebagai `triangulation' dan menghuraikannya sebagai `qualitative cross-validation' yang boleh dilaksanakan antara sumber data yang pelbagai atau kaedah pengutipan data yang berbeza. Melalui triangulasi ini, kesahan dan kebolehpercayaan dapatan kajian akan lebih terjamin.

Pemerhatian Dalam kajian ini, teknik pemerhatian jakan digunakan dalam pengutipan data. Kidder (1981) menegaskan bahawa pemerhatian yang boleh digunakan sebagai satu alat penyelidikan adalah apabila ia dapat berfungsi sebagai halatuju penyelidikan yang terancang, spontan dan boleh direkodkan secara tersusun. Oleh itu bagi memudahkan proses mencatat pemerhatian ini, penyelidik akan menyediakan satu lampiran borang khas untuk mencatat dan meneliti kegiatan yang berlaku semasa proses pengajaran. Senarai kriteria pengajaran pendekatan komunikatif dan aktiviti komunikatif yang diperolehi daripada kajian literatur akan dijadikan panduan oleh penyelidik untuk membuat pemerhatian. Namun begitu ia hanya panduan sahaja kerana matlamat utama pemerhatian dibuat ialah untuk melihat apakah amalan yang sebenar berlaku di dalam lapangan kajian secara semulajadi. Penyelidik akan cuba memastikan agar faktor semulajadi dan bersifat penemuan itu dijadikan asas utama di dalam setiap pemerhatian yang dibuat. Penyelidik juga akan membuat catatan lapangan semasa melakukan pemerhatian kelas. Untuk memastikan kenyataan lisan ‘verbatim statement’ dapat dicatat sepenuhnya semasa proses pemerhatian, penyelidik akan turut merakam perbualan dan aktiviti pengajaran dengan pita rakaman audio. Penyelidik menjangkakan akan membuat pemerhatian secara kritikal setiap gerak geri, percakapan, reaksi, suasana, persekitaran, mod peserta-peserta kajian dan yang paling penting ialah kesediaan penyelidik sebagai alat kajian (instrumen utama) amat penting sekali. Setiap perkara yang berlalu tanpa catatan dan penelitian yang wajar oleh penyelidik adalah satu kehilangan bagi data yang diperlukan. Oleh itu keadaan bersedia dan penumpuan penyelidik amat penting bagi memastikan data deskriptif, holistik dan naturalistik dapat dikutip sebaik mungkin. Selain membuat catatan lapangan, penyelidik juga akan membuat catatan jurnal. Catatan ini menurut Marohaini (2001) adalah untuk merekodkan apa-apa idea, pemikiran, pendapat, pengalaman, dilema, perancangan masalah dan keraguan yang timbul berkaitan dengan pemerhatian. Berbeza dengan catatan lapangan yang merekodkan maklumat atau data-data yang didapati secara langsung daripada pemerhatian, catatan jurnal merupakan tempat untuk penyelidik meluahkan perasaan dan memikirkan semula tentang apa yang telah terjadi serta komentar dalam bentuk peribadi.

Temu bual Temu bual adalah amat penting selain daripada bukti dokumen dan pemerhatian. Menurut Merriam (1990), kita menemubual manusia adalah kerana kita ingin mengeluarkan apa yang ada dalam diri mereka tentang apa yang kita tidak dapat perhatikan. Menurut Patton (1987), kita tidak dapat memerhati perasaan, pemikiran, perhatian, kelakuan yang berkaitan dengan masa lampau yang memberi kesan kepada kehidupannya kini. Situasi sebenar mungkin terhalang untuk dilihat secara semulajadi dengan kehadiran penyelidik. Kita juga tidak dapat memerhatikan bagaimana manusia

menguruskan kehidupan dan dunianya serta kita juga tidak dapat memerhatikan makna-makna yang dikaitkan dengan apa yang berlaku di dalam kehidupannya. Sebab itu Merriam (1990) menjelaskan bahawa teknik pengutipan data untuk kajian kes secara kualitatif yang terbaik ialah melalui temu bual yang dijalankan dengan peserta kajian. Penyelidik menjangkakan akan mendapati berbagai perkara yang tidak dirancang untuk ditanya tetapi disentuh oleh peserta kajian. Dan apabila penyelidik bertanya berkaitan perkara yang disebut itu, maka peserta kajian akan menghuraikan dengan panjang lebar dan dari sini penyelidik akan dapat memperolehi tambahan data untuk kajian ini. Dengan itu, temu bual akan dapat menelusuri amalan yang dilakukan oleh peserta kajian melampaui masa dan batasan yang ada. Ini tidak mungkin dapat diperolehi oleh penyelidik dalam masa yang pendek jika penyelidik membataskan pemerhatian dan temu bual bersama peserta kajian sahaja. Tetapi melalui temu bual, peristiwa yang berlaku dalam tahun-tahun yang lepas dapat digambarkan oleh penyelidik melalui penjelasan berulang-ulang kali dalam beberapa versi penerangan oleh peserta kajian sendiri dan personal di sekelilingnya. Data seperti ini juga dapat dikutip kerana penyelidik selaku instrumen kajian hadir sendiri dan menerokanya secara realistik dan naturalistik. Penyelidik tidak mungkin mengutip data seperti ini jika hanya mewakilkan pihak lain atau dengan hanya menggunakan perantaraan kertas soal selidik sahaja. Dalam kajian bersifat kualitatif ini, Bogdan dan Biklen (1992) melihat bahawa teknik pengutipan data deskriptif melalui temu bual adalah cara yang paling lazim terutamanya dalam kajian yang melibatkan pemerhatian peserta kajian. Dalam kajian ini, teknik temu bual akan digunakan bersama-sama dengan pemerhatian amalan pendekatan komunikatif di dalam proses pengajaran. Penggunaan teknik ini dianggap sama pentingnya dengan pemerhatian. Tanpa penggunaan temu bual, data yang diperoleh dari pemerhatian tidak akan dapat memberi gambaran yang lengkap tentang apa yang diperhatikan. Melalui temu bual, data yang diperoleh daripada pemerhatian dapat diperkukuh dan diperlengkap. Sesi temu bual yang dijalankan dengan peserta kajian, juga akan mendapatkan maklumat tentang proses perancangan dan pengajaran mereka. Terdapat dua jenis temu bual yang akan digunakan dalam kajian ini, iaitu temu bual tidak formal dan temu bual formal berpandu. Menurut Patton (1987) dalam Merriam (1990), temu bual tidak formal adalah temu bual yang mengemukakan soalan-soalan secara spontan dalam aliran interaksi. Manakala temu bual formal berpandu mempunyai senarai soalan-soalan atau isu untuk diteroka semasa pemerhatian yang telah dijalankan. Untuk memastikan kenyataan lisan dapat dicatatkan sepenuhnya dalam proses temu bual ini, penyelidik akan merakamkannya dengan pita rakaman audio. Rakaman audio ini akan ditranskripkan sepenuhnya mengikut format tertentu.

Bukti Dokumen Pengumpulan data melalui teknik ini melibatkan beberapa jenis dokumen khususnya dokumen bentuk bertulis seperti buku rekod mengajar guru, buku teks, kertas edaran dan sebagainya. Bogdan dan Biklen (1992) telah membahagikan kepada dua bentuk dokumen. Jenis dokumen pertama yang akan digunakan adalah dokumen berbentuk rekod awam yang lebih merupakan dokumen rasmi sekolah. Dokumen ini akan digunakan bagi mendapatkan maklumat tentang latar belakang sekolah, jumlah bilangan guru dan murid secara umum. Manakala jenis dokumen kedua yang akan diteliti oleh penyelidik adalah dokumen peribadi yang dihasilkan oleh seseorang individu khususnya peserta kajian. Data-data dokumen ini termasuklah rancangan pengajaran guru, langkah-langkah dalam pengajaran guru, lampiran yang disediakan oleh guru, bahan-bahan bantu mengajar, soalan-soalan tambahan yang disediakan oleh guru dan soalan edaran untuk aktiviti latih tubi di dalam bilik darjah.

Prosedur Membentuk Kategori Dan Kodifikasi Seperti yang telah dinyatakan oleh Merriam (1990), analisis data kualitatif melibatkan dua peringkat iaitu semasa pengutipan data dan selepas pengutipan data secara intensif di lapangan kajian. Tujuan penganalisisan data semasa pengutipan data berjalan adalah agar penyelidik tidak tenggelam dengan himpunan data yang banyak. Penyelidik akan membaca setiap catatan lapangan, transkripsi temu bual dan salinan-salinan dokumen untuk memandu kerja lapangan selanjutnya. Dimasa yang sama Bogdan dan Biklen (1992) mencadangkan agar proses kodifikasi perlu dimulakan bagi mengecam pola tema-tema yang berkaitan dengan objektif dan soalansoalan kajian. Tujuan proses analisis dan kodifikasi data pada peringkat awal adalah untuk membantu penyelidik memastikan data-data yang relevan dengan kajian sahaja yang diringkaskan serta mengupaya penyelidik mengawal kajian sentiasa berada di atas landasan yang betul. Proses kodifikasi akan dilakukan dalam dua fasa. Fasa pertama adalah proses kodifikasi berdasarkan unit yang meliputi satu set pemerhatian, temu bual dan bukti dokumen. Bogdan dan Biklen (1992) menyatakan kod yang terhasil adalah dalam bentuk frasa yang dinamakan kod kategori. Kod ini dibina berdasarkan soalan-soalan kajian. Fasa kedua pula melibatkan kodifikasi berdasarkan kategori yang telah dirangka pada peringkat awal. Sebelum kajian sebenar dijalankan, penyelidik telah membuat kategori-kategori kodifikasi yang akan menjadi panduan untuk proses penganalisisan dan pengumpulan data. Kategori ini dibuat berdasarkan tinjauan bacaan dan teori-teori yang berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran, bahasa kedua dan pendekatan komunikatif. Pengalaman penyelidik dalam pengajaran dan pandangan pakar juga diambil kira dalam pembentukan kategori ini.

RUJUKAN Abdul Rahim Ismail (1999). Kearah pengajaran dan pemelajaran bahasa Arab secara komunikasi. Kertas Kerja dalam Seminar Bahasa Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin. Bogdan, R.C. & Biklen, S.K. (1992). Qualitative research for education. 2nd Edition, Needhams Height : Allyn and Bacon. Bogdan, R.C. & Biklen, S.K. (1998). Qualitative research in education: An introduction to theory and methods. Bostan : Allyn and Bacon Inc. Cohen, L. & Manion, L. (1989). Research methods in education. (3rd ed.). London: Routledge. Fraenkel, J.R. & Norman E.W. (1996). How to design and evaluate research in education. New Yor: McGraw-Hill Inc. Ismail Omar (1997). Teaching arabic language according to the communicative approach at national secondary school Johnson, K. (1979). Communicative approach and communicative process. Dalam Brumfit, C.J. & Johnson, K. (1979). The communicative approach to language teaching. Oxford: Oxford University Press. Johnson, K. & Morrow, K. (1981). Communication in classroom. England: Longman Group Ltd. Johnson, K. & Morrow, K. (Eds) (1984). Communication in the classroom. Harlow: Longman. Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Keperluan kurikulum bahasa Arab dalam era millennium. Kuala Lumpur: JAPIM Littlewood, W.T. (1981). Communicative language teaching : An introduction. Cambridge: Cambridge University Press. Marohaini (Ed) (2001). Penyelidikan kualitatif: Pengalaman kerja lapangan kajian. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. Merriam, S.B. (1990). Case study research in education : A qualitative approach. 3 rd Ed. San Francisco: Jossey-Bass Publishers. Miles, M.G. & Huberman, A.M. (1984). Qualitative data analysis. Beverly Hills, California: Sage. Patton, M.Q. (1987). How to use qualitative methods in evaluation. Newbury Park, CA:Sage. Van Maanen, J. (ed.) (1983). Qualitative methology. Beverly Hills, California:Sage. Wiersma, W. (2000). Research in education: an introduction. Boston: Allyn and Bacon.

Suggest Documents